Inspirasi Dhia

Cerita Cikgu Hanun dari lorong gelap kota raya ke bangunan sekolah Buku Jalanan Chow Kit

Oleh  | 

Kuala Lumpur tidak pernah mati. Bangunan menjulang, keretapi laju membelah landasan dan gedung beli belah megah berdiri tempat orang berpusu-pusu mendapatkan barangan.

Kuala Lumpur adalah tempat semua orang bergegas mewujudkan mimpi-mimpi yang diciptanya. Sebab itulah masa terasa begitu laju di sini.

Ketika politikus melaungkan semangat untuk maju dan para kontraktor merancang lebih banyak bangunan untuk didirikan. Pada masa yang sama ada jiwa yang terperangkap dari belenggu kemiskinan.

Kerana percaya pendidikan adalah alasan paling besar untuk menyelamat seseorang keluar dari kepompong kemiskinan, seorang gadis kelahiran Terengganu bernama Nur Hanun Muhammad hadir sebagai sukarelawan memberikan ilmu kepada anak-anak di lorong Chow Kit.

FOTO: Instagram Buku Jalanan Chow Kit

Ketika awal penubuhan gerakan Buku Jalanan Chow Kit, Cikgu Hanun bersama rakan-rakan lain akan turun ke lorong membentang tikar di belakang bangunan Alka Ria. Di tempat itulah nasib anak-anak ini diselamatkan dengan mengajar mereka mengenal ilmu dan agama.

“Awal di lorong dulu, kita tak ada buat poster ke apa. Kita cuma bawa buku dan lampu. Kita tak pernah paksa mereka belajar dengan kita. Tapi anak-anak ini datang sendiri dengan rela hati. Bilangan yang datang belajar semakin bertambah dari bulan ke bulan,” ujar Hanun.

Pelajar saya bukan anak luar nikah

Bila sebut sahaja anak lorong-lorong Chow Kit, masyarakat akan lekas mempunyai stigma bahawa mereka ini adalah anak tak sah taraf atau gelandangan.

FOTO: Instagram Buku Jalanan Chow Kit

“Anak-anak murid saya bukan gelandangan atau anak luar nikah. Kebanyakan mereka datang daripada mereka yang mempunyai ibu atau ayah yang bukan warganegara,” cerita Hanun.

Selepas beberapa tahun mengajar di lorong Chow Kit, berkat pertolongan dan bantuan orang ramai. Gerakan Buku Jalanan Chow Kit telah mampu untuk menyewa bangunan rumah kedai di Lorong Haji Taib. Dari sebuah pusat hiburan, ia diubah suai menjadi sebuah sekolah tempat anak-anak ini menimba ilmu pengetahuan.

Ibu menangis anak pandai membaca

Bercerita tentang pengalaman yang paling berharga menjadi guru di Sekolah Buku Jalanan Chow Kit, Cikgu Hanun ini terdiam sebentar kemudian tersenyum sebelum menyambung kisahnya.

“Tahun lepas kita buat perjumpaan ibu bapa dengan anak-anak. Ada seorang ibu berat hati nak hantar anak ke sini. Tapi  kita yakinkan padanya bahawa pendidikan ini penting dan boleh mengubah nasib keluarga.

 Awal tahun ini kita adakan perjumpaan semula. Ibu yang sama datang dan menangis. Dia gembira sebab banyak perubahan yang dilakukan anaknya sejak bersekolah.

Orang luar mungkin menganggap kebolehan membaca ABC mungkin perkara kecil. Tapi sebagai seorang cikgu yang mengajar anak-anak yang tak mempunyai akses kepada kesihatan, pendidikan dan kehidupan yang baik. Ia memang perkara yang buat saya terharu,”

Akan tiba giliran awak pula berbakti

Suasana menjadi senyap seketika apabila Hanun tiba-tiba bergenang dan menahan sebak mendengar pertanyaan apakah harapannya kepada anak-anak Chow Kit. Membetulkan letak tudungnya seketika, dia kemudian menyambung perbualan.

“Kalau anak-anak saya tengok video ini. Saya nak semua tahu bahawa cikgu di Buku Jalanan Chow Kit nak tolong awak berjaya. Tiada orang lain yang akan bantu awak melainkan diri awak sendiri.

“Tempat ni sudah di bina. Suatu hari nanti, cikgu akan kembalikan tempat ini semula kepada awak. Itulah masanya giliran awak pula untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya mengakhiri perbualan.

Cikgu Hanun telah mengajarkan kita bahawa tidak ada orang yang miskin dengan memberi. Walaupun ada masanya tangan kita tidak selalu penuh dengan wang ringgit. Tapi hati kita selalu ada ruang untuk berbagi cinta, kasih sayang dan kebahagiaan. Itulah yang dimiliki Cikgu Hanun dan sukarelawan di Buku Jalanan Chow Kit.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my