Inspirasi Dhia

Dengan RM30, lihatlah bagaimana pesakit Bipolar ini menyelamatkan kehidupan orang lain

Oleh  | 

DI TENGAH ketegangan kawasan konflik dan kem pelarian Syria, siapa sangka sekumpulan anak muda dari Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di Jordan hadir memberikan bantuan dan pendidikan asas kepada mereka.

Tidak mahu usaha mereka terhenti sebaik sahaja menamatkan pelajaran di Jordan, seorang gadis bernama Fatiha Shuib rupanya telah menyiapkan sebuah mimpi yang lebih besar.

Dengan hanya berbekalkan RM30 wang simpanannya, Fatiha telah cetak sebuah proposal mengenai situasi dan bantuan yang patut dihulurkan untuk membantu pendidikan anak-anak pelarian Syria.

FOTO: 1moment4them

Namun, sebelum semua itu berlaku, Fatiha sebenarnya sedang berperang dengan raksasa di dalam dirinya sendiri.

“Waktu itu saya dah ada symptom bipolar. Tapi saya tak tahu apa yang terjadi pada saya. Setahun selepas tamat pelajaran di Jordan. Saya tiba-tiba tak dapat buat apa-apa,”

Perlahan-lahan ingin keluar daripada keadaan itu, Fatiha mengambil keputusan bekerja di sebuah restoran makanan segera untuk mengembalikan kemahiran komunikasi.

1Moment4Them

FOTO: 1moment4them

Bercerita tentang penubuhan 1moment4them, Fatiha tersenyum.

“Saya pergi ke butik Mizz Nina di Damansara untuk minta e-emel. Mungkin takdir Tuhan, dalam beribu-ribu emel yang ada, Mizz Nina buka e-mel proposal yang saya hantar. Kami kemudian berjumpa.

“Saya bukan sesiapa. Pada waktu itu saya cuma ada proposal dan team saya di Jordan. Tapi Mizz Nina yakin dan bersetuju untuk turut serta. Kemudian kita ada Noh Hujan, Aizat dan Faizal Tahir yang sama-sama dalam untuk 1Moment4Them

“Dengan proposal itu juga yang saya digunakan untuk meminta sumbangan  dan derma daripada pelbagai pihak. Lepas kami berjaya meyakinkan semua dengan projek ini, kami akhirnya satu team pergi ke Jordan,” katanya.

Sah, ini Bipolar

Sebaik sahaja selesai konsert 1Moment4Them dengan jayanya di Mesir. Nama 1Moment4Them semakin hebat disebut-sebut dan dilaporkan secara besar-besaran di dada akhbar. Sebagai pengasas badan bukan kerajaan itu, Fatiha sepatutnya sudah boleh bernafas lega dan berbangga apabila usahanya kini dipandang oleh orang luar.

Namun yang terjadi adalah sebaliknya. Fatiha sekali lagi ditarik oleh ‘raksasa’ di dalam dirinya. Dia tiba-tiba menjadi paranoid dan memencilkan diri.

Ketika itulah, Fatiha nekad bertemu dengan psikiatri sebelum disahkan menghadapi Bipolar disorder iaitu seseorang yang mengalami depresi dan tempoh menyendiri yang lama.

Terus memberi

FOTO: 1moment4them

“Secara jujur, cara lain untuk memperbaiki kesihatan mental ialah dengan membuat kerja-kerja kesukarelawan.

“Saya rasakan masalah kesihatan mental yang saya hadapi sebenarnya membuatkan saya lebih empati,”

Bercerita apakah peristiwa yang membuatkan gadis itu menyambung projek kemanusiaan di Semporna, Sabah. Fatiha mengakui terkejut apabila mendapati apa yang dilihatnya di bumi konflik seperti Syria rupanya ada di tanah air sendiri.

“Apa yang menyentuh hati saya dan apa yang membuatkan saya tukar projek saya dari Jordan ke Semporna ialah kerana apa yang saya lihat di Jordan, ada di tanah air sendiri.

“Budak lari tak pakai kasut, penjagaan kesihatan sangat teruk, tak ada pendidikan, Saya rasakan inilah sisi gelap Malaysia yang orang tak tahu.”

Sebelum mengakhiri temu ramah, Fatiha sempat mengingatkan kepada orang ramai, jika mereka mempunyai simptom depresi jangan takut untuk mendapatkan pertolongan.

“Suatu hari nanti kamu akan bangun dan lakukan sesuatu yang kamu sendiri tak sangka yang kamu boleh lakukan. Apa yang penting ialah kamu harus yakin dengan diri kamu sendiri,” katanya mengakhiri temu ramah.

Fatiha mengingatkan kami dengan satu kata-kata seorang pujangga dan ulama terkenal nusantara bernama Hamka.

“Jangan takut jatuh, yang tidak memanjatlah yang tidak takut jatuh.”

Kisah Fatiha sangat ironi, dia menemukan dirinya dalam keadaan paling jatuh dan paling buruk pernah dialaminya. Namun, dalam keadaan itu jugalah dia menghidupkan dan membangkitkan jiwa seseorang lain. Tiada kata lebih sesuai menyimpulkan kisah gadis ini melainkan sebuah keajaiban.

Jadi, untuk orang yang normal seperti kita, jiwa siapakah yang telah kita selamatkan hari ini?

*Ikuti temu bual penuh Fatiha Shuib bersama-sama Wafa Aula dalam PM Tepi Je La

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my