Inspirasi Dhia

Dipilih berucap depan 7000 graduan di AS, pesanan gadis ini bikin meremang bila…

Oleh  | 

SEJAK semalam, tular video seorang gadis Malaysia yang dipilih untuk berucap di hadapan 7000 graduan dalam sebuah majlis graduasi University of  Wisconsin- Madison. Lisa Nur Marini Mohd Kamal menjadi cakap-cakap netizen apabila ucapannya di dewan berkenaan begitu menyentuh perasaan.

Kejayaan untuk menggenggam segulung ijazah dalam bidang Geologi bukanlah sebuah perjalanan yang mudah. Ada banyak cabaran yang dilaluinya untuk memastikan imipiannya bergelar siswazah akan tercapai. Bergelar pelajar tajaan Petronas yang jauh daripada rumah, sudah tentu Lisa menggalas amanah dan harapan yang besar untuk melunaskan pelajaran di universiti itu.

Sepintar manapun seseorang, pasti dia akan mempunyai pengalaman terburuk dalam menyelesaikan pengajian, Bagi Lisa, fasa tersebut dihadapinya apabila memasuki tahun kedua universiti berprestij itu. Entah kenapa dia tiba-tiba menjadi sangat lesu dan hilang semangat.

“Kita memegang harapan banyak orang dan harapan diri sendiri. Apabila saya tak berjaya memenuhi segala harapan itu, orang yang paling kecewa tentulah  diri saya sendiri. 

Tahun kedua saya di sini, saya mula kehilangan motivasi untuk menghabiskan ijazah ini. Saya hilang semangat dan apa yang saya nak buat hanyalah tidur sepanjang hari. Saya mencari-cari di manakah agaknya semangat yang saya ada seperti mula-mula menjejakkan kaki di sini pada awalnya,” akuinya dalam ucapan tersebut.

Namun, Lisa sangat bersyukur dikelilingi kawan-kawan yang membantunya memandangkan keluarganya sangat jauh di Malaysia.

“Lihatlah dimana kita sekarang. Kita berjaya menghabiskannya sampai ke penghujung. Kita memilih untuk bangun dan beri peluang kepada diri sendiri   memulakan sesuatu sekali lagi setiap pagi,” katanya sambil memandang kepada rakan-rakan di bawah pentas.

Kalau korang nak tahu, jurusan yang diambil Lisa bukan calang-calang. Dia harus bergelut dengan analisis mikropro elektron yang sangat mencabar. Walaupun begitu, gadis Kuala Lumpur ini nampaknya membuktikan sesuatu apabila menjadi penerima Biasiswa Junior Lowell R. Laudon Cemerlang dari Jabatan Geosains.

“Ingatlah masa segala masa buruk yang telah membentuk siapa kita dan masa-masa baik yang telah membuat kita bersyukur. Kita telah menjadi ‘seseorang’ hari ini kerana semua itu,” tambahnya sebelum mengakhiri ucapan dengan menyanyikan lagu Broadway.

Syabas dan tahniah sis ucapkan!

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my