Inspirasi Dhia

Eksklusif : Gadis terlanjur ini akui dulu hidup bagai tidak bertuhan

Oleh  | 

TERLALU memuja kebebasan dan keseronokan membuatkan Lin (bukan nama sebenar) terpaksa menempuh  detik hitam di dalam hidupnya apabila disahkan hamil anak luar nikah ketika baru berusia 17 tahun.

Tiada siapa yang dapat menduga kesilapan menjalani kehidupan sewaktu remaja membuat gadis ini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu pada usia yang begitu muda.

Ketika kunjungan Team Dhia ke rumah perlindungan Bayt Ar Rahmah baru-baru ini, Lin rupanya telah bersedia untuk berkongsi kisah hitamnya agar menjadi pengajaran untuk para gadis di luar sana.

Segala yang terjadi bukanlah berpunca dari salah didikan ibu dan ayah. Tapi darah muda Lin yang menyebabkan gadis itu memilih untuk bergaul tanpa batasan. Berkunjung ke disko pula sudah dianggap perkara biasa.

“Masa tu saya baru habis sekolah. Hidup waktu itu macam tidak bertuhan. Pergi kelab, disko tu benda normal,” cerita Lin.

Segalanya berubah apabila Lin disahkan hamil hasil daripada ketelanjurannya bersama sang kekasih. Nasi sudah menjadi bubur, Lin sedar tidak mungkin dirinya dapat memutar kembali waktu. Apa yang boleh dilakukan ialah mengakui kesalahan dan menanggung segala akibat daripada perbuatannya.

Lin bagaimanapun menyembunyikan berita kandungannya daripada pengetahuan orang tua kerana belum bersedia. Hanya kawan-kawanlah tempatnya mengadu dan mendapatkan sokongan moral.

 “Mak ada syak juga dan tanya itu ini. Tapi Lin yakinkan mak yang Lin tak mengandung. Mak percaya. Tapi lepas Lin dah lahirkan anak. Barulah Lin ada keberanian nak beritahu kepada mak dan ayah,”

Seperti ibu bapa yang lain, tidak ada yang sanggup menerima berita buruk begini yang datang daripada mulut anak kesayangannya sendiri.

“Waktu beritahu dekat Mak, dia menangis. Tapi tak boleh nak buat apa sebab benda dah jadi. Ayah pula pada awalnya tak bercakap dengan saya. Dia kecewa. Tapi lama kelamaan dia boleh menerima dan hubungan kami mula pulih seperti sedia kala,”

Titik perubahan

Segala yang terjadi merupakan titik perubahan terbesar dalam hidup Lin. Jika dia tidak mengandung, mungkin dia masih lagi hidup bebas hingga ke hari ini. Sebab itulah dia rela dihantar ke rumah perlindungan untuk menimba ilmu agama menghadapi ujian dunia yang lebih mencabar di luar sana.

“Lin bertekad ingin jadi orang yang baru lepas keluar dari sini. Lin akan bekerja untuk besarkan anak.

“Pesanan Lin kepada gadis dekat luar, jangan hidup tak bertuhan. Jangan terlalu memuja kehidupan barat yang bebas. Keseronokan itu akan mendatangkan binasa kepada diri kita nanti.

“Berubahlah menjadi gadis yang lebih berharga. Jika tidak, lelaki akan pandang kita murah. Kalau waktu seronok, dia memang akan cari kita. Tapi bila dia dah bosan, dia akan buang kita juga,” katanya mengakhiri temu ramah.

Lin bakal keluar dari rumah perlindungan ini beberapa hari lagi sewaktu temu ramah ini dijalankan. Team Dhia mendoakan agar Lin akan terus mengejar cita-cita dan dapat membesarkan anaknya dengan pengetahuan agama, cinta dan kasih sayang.

*Ikuti temu bual penuh Wafa Aula bersama-sama Lin di Pm Tepi Je La

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my