Inspirasi Dhia

EKSKLUSIF : Macam mana gadis muka suci dan baik ini boleh terlanjur?

Oleh  | 

Cinta bukanlah dipanggil cinta, jika kita semakin membenci diri sendiri. Cinta bukanlah dipanggil cinta, jika kita terpaksa menanggung malu sendiri-sendiri.

Semua orang berhak mendapatkan peluang kedua. Tapi tak semua orang rela memberikan peluang seterusnya kepada remaja yang disahkan hamil tanpa bapa ini. Mereka harus melalui jalan gelap hasil daripada kegagalan mereka menimbang baik buruk dalam mencintai seseorang.

Namun, peluang kedua ini tercipta dari tangan seorang wanita bernama Nurdiran Idris yang membuka pusat pemulihan Bayt Al Rahmah untuk gadis terlanjur kerana percaya bahawa mereka juga harus diberi harapan dan ilmu untuk meneruskan kehidupan.

Membangunkan dan menguruskan teratak ini selama sembilan tahun bukanlah sebuah perjalanan yang singkat. Apalagi untuk berhadapan dengan pandangan sinis masyarakat terhadap gadis-gadis terlanjur ini.

“Macam- macam yang kami terima daripada masyarakat. Ada yang kata ini tempat maksiat dan kita nak sebarkan maksiat. Sampai ada yang teragak-agak nak beri sumbangan.

Niat kami tubuhkan rumah ini ialah untuk beri perlindungan kepada gadis terlanjur. Ia juga adalah sebahagian daripada dakwah,” katanya semasa ditemui baru-baru ini.

Mereka bercinta, suka sama suka

Bercerita tentang gadis-gadis yang datang ke rumah perlindungan ini. Beliau menjelaskan kebanyakan kes mengandung anak tak sah taraf ini memang disebabkan terlanjur dengan sang kekasih. Hanya sedikit peratusan gadis hamil disebabkan teraniaya atau menjadi mangsa rogol.

Selain itu, mungkin ibu bapa tidak menyediakan gaya hidup berlandaskan agama dan terlalu terbuka membiarkan anak-anak bebas keluar ke kelab malam. Namun jangan terkejut, kerana ada juga kes terlanjur terjadi dalam keluarga yang baik agamanya. Lebih-lebih lagi ayahnya seorang Ustaz. Namun kesilapan ayah terlalu mengongkong menyebabkan si gadis begitu naif dalam mempercayai lelaki hingga akhirnya terlanjur.

Peluang kedua sentiasa terbuka

Seberapa jauh kita telah berlari, kepada Tuhan jugalah sebaik-baiknya tempat kita kembali. Di Baitul Ar Rahmah ini gadis-gadis ini dibawa ke jalan yang benar. Selama enam bulan ini, mereka diasuh untuk mengenal Tuhan, diajar mengenai solat, membaca Quran, menjalani sesi kaunseling, dan pemeriksaan kesihatan sehinggalan anak mereka selamat dilahirkan.

Tujuannya hanya satu iaitu semoga gadis ini akan keluar dalam keadaan yang bersedia menghadapi alam realiti seterusnya menjadi seseorang yang baharu.

Statistik pembuangan anak dan remaja hamil di Malaysia semakin meningkat. Ini juga menjadi keresahan bagi Puan Nurdiran memikirkan nasib gadis-gadis pada masa akan datang.

“Saya berharap gadis di luar sana jagalah maruah diri. Kerana apabila kita tak sayang maruah diri, kita akan tergadai. Jika maruah tergadai, ia akan menjadi sejarah dalam hidup kita. Jangan biarkan sejarah itu berada dalam diri kita.

Keadaan hujan di luar sangat lebat. Kita tak tahu adakah payung kita cukup untuk hujan tersebut. Bersedialah,” katanya mengakhiri perbualan kami hari itu.

Perasaan mencintai seseorang membuatkan setiap daripada kita ingin memberikan segalanya asalkan ia boleh memberikan kebahagiaan kepada sang kekasih. Tapi ramai yang terkeliru adakah ia sedang mencintai seorang lelaki atau mencintai nafsu yang sedang mengamuk di dalam diri lelaki itu.

Jika cinta membuatkan seseorang jatuh ke dalam lembah hitam yang tidak boleh terpadam dan menghantuinya sepanjang hidup, fikirkanlah, adakah kita sedang mencintai seorang lelaki atau nafsu yang berada di dalam diri lelaki itu?

Berapa banyak pula kerakusan yang terjadi atas alasan mencintai?

*Temubual penuh boleh tonton di siri PM Tepi Je La bersama Wafa Aula.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my