Inspirasi Dhia

EKSKLUSIF: Pendedahan gadis Melayu di IPT ‘angkat’ ganja kali pertama

Oleh  | 

“Saya bukanlah perokok tegar. Tapi saya tak boleh tolak ganja,”

ITULAH antara ayat pertama yang dikeluarkan oleh para gadis yang sis temui baru-baru ini menceritakan pengalaman mereka terjebak dalam kancah dadah. Lebih mengejutkan apabila pengenalan pertama mereka mencuba ganja adalah ketika di awal kemasukkan mereka di menara gading.

Sebuah kajian pernah dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi telah mendedahkan bagaimana pengaruh dadah dalam kalangan mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi. Dapatan kajian menunjukkan 2 dalam 1000 pelajar IPT positif air kencing. Seramai 328 pernah menyentuh sekurang-kurangnya satu dari sembilan jenis dadah. Manakala 595 mengenali rakan mereka yang pernah mengambil sekurang-kurangnya satu jenis dadah yang biasa disalahgunakan. 

via GIPHY

18 hingga 20 tahun adalah fasa usia anak muda untuk baru mengenal dunia. Maklum sahajalah, bila sudah duduk di universiti dan jauh dari pandangan ibu dan ayah. Sudah tentu kita bebas untuk melakukan apa sahaja. Sahabat adalah individu yang paling kuat memberi pengaruh dalam hidup masing-masing. Sis sempat menemubual Seri, Mellia, Amanda Ali, yang datang daripada universiti berbeza untuk bercerita pengalaman sewaktu mereka pertama kali mencuba ganja. Ini cerita mereka. 

Seri, 18 (Bukan nama sebenar)

Bercerita tentag kisahnya mula terjebak dengan dadah. Seri mengakui dia mula teringin untuk mencuba setelah melihat rakan disekelilingnya mula mengambil ganja.

“Dah pernah ada orang yang nasihatkan jangan ambil benda tu. Tapi waktu tu semester kedua,  rasa nak kenal dunia. Nak cuba semua benda. Mula-mula susah juga nak dapatkan. Sampailah satu hari kawan bawa balik. Kami ‘angkat’ ramai-ramai dalam satu rumah sewa.

“Saya jadi ketagih. Perlahan-lahan saya pandai beli sendiri. Kami tak tahu siapa sebenarnya dealer. Nak dapat benda tu dari mulut ke mulut sahaja,”

Menurut Seri, dia akan menghabiskan RM50-RM100 sebulan untuk membeli ganja yang tidak diketahui dari mana sumbernya.

FOTO: Gambar hiasan, theprobash

Mellia, 19 (Bukan nama sebenar)

“Saya dulu macam katak di bawah tempurung. Tak kenal lagi benda ganja ni. Saya pun bukan perokok tegar. Cuma, bila tengok kawan-kawan cuba, kita pun jadi  terpengaruh,” Mellia memulakan bicara.

Cubaan pertama Mellia mengambil ganja sama seperti Seri. Ganja pertama yang ‘diangkat’ adalah di rumah sewa mereka secara beramai-ramai.

FOTO: Gambar hiasan, d.newsweek.

Mula-mula tumpang je, tapi lama-kelamaan kita dah pandai cari dan buat sendiri. Saya tak pernah keluarkan duit nak beli benda tu. Biasanya boyfriend yang akan beli dan saya minta sikit. Dia habis dalam RM200 juga sebulan. Tak kisahlah tak makan, asalkan dapat benda itu.”

Nampaknya pengedar ganja di kampus  menggunakan teknik yang sama iaitu mesti dilakukan dari mulut ke mulut. Tak pernah ada sesiapa yang benar-benar tahu siapakah pembekal ganja ini yang sebenarnya. Mereka pun tak pernah bertanya lebih. Asal dapat barang, sudahlah.

Amanda Ali, 20 (Bukan nama sebenar)

Berbeza dengan yang lain, Amanda memang seorang perokok sebelum dia mula mengambil dadah.

“First time ambil benda tu, waktu tu kitorang lepak dekat taman dengan kawan-kawan. Tiba-tiba dalam kalangan kawan kami tu, ada yang bawa. Jadi kami cuba la ramai-ramai. 5 minit macam tu saya dah start high.

“Saya ambil sebab nak suka-suka sahaja. Memang tak pernah addicted ke apa. Saya angkat pun kalau lepak dengan kawan-kawan. Saya tak pernah pun beli sendiri,” katanya.

FOTO: Gambar Hiasan. cloudfront.net

Ditanya adakah mereka menyesal mengambil dadah. Masing-masing mengakui ia sebenarnya membantu mereka terutama ketika mengalami tekanan di musim peperiksaan. Namun, bila difikir semula ia tidak baik untuk kesihatan di masa panjang. Masing-masing telah cuba mendapatkan rawatan dan menghadiri sesi terapi untuk melawan  bagi mengekang pengaruh ganja.

“Yelah, mula-mula tu macam syok. Tapi lama-lama saya mula terfikir. Sampai bila nak macam ni? Jadi saya usahakan juga nak lawan benda ni,” Ujar Seri mengakhiri perbualan kami pada hari itu.

Seri, Mellia, dan Amanda Ali adalah antara para gadis kita di IPT yang tak sengaja terjebak dalam pengambilan ganja. Mungkin ada ramai lagi yang senasib dengan mereka di kampus kita hari ini.

Dengan semangat kemerdekaan kita pada tahun ini, Sayang Malaysiaku: Malaysia Bersih, Sudah masanya kita menyelamatkan anak muda dan kawan-kawan kita dekat luar sana untuk membersihkan diri kita masing-masing dari dadah dan segala benda negatif.

FOTO: Berita Harian

Bila tengok balik rekod serbuan polis dekat sebuah IPT di Johor bulan lalu sangat menyedihkan bila mereka menjumpai kanabis seberat 355.13 gram menyebabkan 7 mahasiswa ditahan. Itu belum lagi berkotak-kotak muatan kanabis yang ada bersama-sama mereka.

Jom tengok balik kes 3 pelajar IPT juga di tahan dekat Serdang bila polis jumpa 1.2 kilogram dadah berharga lebih kurang RM2,500. Kita tak nak la terus menjadi agresif seperti perang dadah yang dilakukan di Manila. Tapi cukuplah kita lakukan sedikit perubahan untuk menyelamatkan mana-mana kampus dekat dalam negara kita jadi tempat edaran dadah. Tegurlah kawan-kawan kita agar tak terjerumus mengambil dadah. Hari ini mungkin dia angkat satu jenis dadah sahaja. Esok, lusa, siapa tahu dia angkat bermacam jenis dadah.

Mari mulakan hidup baru dan bersihkan kampus pengajian tinggi kita  dari benda-benda yang boleh mengundang padah.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my