Inspirasi Dhia

Grafiti gadis Palestin ini lebih ‘power’ daripada sebutir peluru!

Oleh  | 

“LUKISAN jalanan selalunya didominasi lelaki, tetapi apa salahnya jika wanita juga melakukannya?”

Laila Ajjawi, gadis pelarian Palestin di Jordan cekatan berpindah tangan antara satu semburan cat dengan satu semburan yang lain.

Dalam 20 minit sahaja, dia berjaya melukiskan huruf-huruf Arab pada mural gambaran seorang gadis dengan mata galak. Muralnya hampir sempurna.

FOTO: Nicholas Weismann

“Segala tenaga yang ada saya akan saya alirkan kepada orang sekeliling melalui dinding,” kata gadis berumur 25 tahun itu. Laila menghabiskan masa senggangnya dengan melukis mural pada dinding, menyampaikan mesej-mesej keamanan yang memperkasa wanita.

Laila selalu melukis pada dinding berhadapan rumah keluarganya, di mana dia tinggal bersama adik-beradik dan ibu bapanya. Rumah yang mereka diami ialah rumah yang nenek dan datuk mereka dirikan, ketika berlaku perpindahan beramai-ramai 700 000 warga Palestin yang dipaksa meninggalkan negara mereka sewaktu konflik Arab-Israeli pada tahun 1948.

Seperti kedua-dua ibu bapanya, Laila dilahirkan dan dibesarkan di kem pelarian di Jordan.

FOTO: Nicholas Weismann

Objek kegemaran Laila pada mural-muralnya ialah kuda, yang mana salah satu daripada mural tersebut membawa simbol kekecewaan keluarganya yang terpaksa “berjuang untuk perkara yang terlalu asas” seperti pendidikan universitinya yang mencecah 6000 Dinar Jordan untuk empat tahun, tetapi dalam masa yang sama keluarganya hanya berpendapatan 700 Dinar Jordan setahun.

Laila menggunakan kuasa pada jemari seni yang ada padanya untuk mempersoalkan tanggapan buruk yang ada dalam budaya masyarakatnya tentang wanita, yang mendapat layanan kelas kedua dalam komuniti yang didomnasi lelaki. Juga tentang pelarian Palestin di sana, yang terus-menerus terpaksa melalui diskriminasi setiap hari.

FOTO: Nicholas Weismann

“Media di sini cuba untuk memprovok idea bahawa perempuan tidak boleh mengawal hidup mereka, kerana itu mereka tidak boleh jadi pembuat keputusan,” katanya.

Hidup dipandang rendah kerana menjadi pelarian, Laila sentiasa menganggap bahawa yang penting bukanlah dari mana kita datang, sebaliknya siapa yang kita akan jadi.

Laila juga bercita-cita suatu hari beliau dapat menceburi bidang media.

“Suatu hari saya akan terjun dalam media yang boleh saya manfaatkan untuk saya suarakan perjuangan saya melalui seni,” kata Laila lagi.

 

Sumber: Cosmopolitan

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my