Serious?!

“Industri kita kecil, kau buat tahi satu produksi, semua orang akan tahu” – Wan Hanafi Su

Oleh  | 

40 TAHUN berada dalam industri hiburan dan seni tanah air bukanlah tempoh masa yang sekejap. Banyak perkara dan pengalaman yang terkumpul di bahu pelakon veteran bernama Wan Hanafi Su.

Mana tidaknya, banyak jenis watak pernah dibawanya daripada watak baik seperti seorang bapa yang menyedihkan sehinggalah seorang jahat yang dikehendaki polis.

Walaupun usianya bakal menjengah angka 69 tahun, pelakon yang lebih mesra disapa sebagai Abang Wan atau Uncle Wan ini tidak pernah menguburkan cintanya terhadap seni lakon layar tanah air. Buktinya, beliau tampil meneruskan karier lakonannya dengan filem terbaharunya bertajuk BU (Kasih Suci).

Bercakap tentang asam garam dunia lakonan, Wan Hanafi sempat berkongsi tentang ciri-ciri lakonan yang baik.

“Lakonan yang baik adalah watak yang memberi  kesan kepada penonton walaupun watak itu kecil. Kalau dia melakonkan watak dengan baik, orang akan ingat dia walaupun dia hanya pelakon tambahan,”

Menurut Abang Wan lagi, untuk menjelmakan sebuah lakonan yang berkesan, seseorang itu perlulah ikhlas dalam menjiwai  watak.

“Ramai orang tersilap perkataan ‘menjiwai watak’ tu. Kita adalah watak hidup, sudah tentu kita ada jiwa. Namun apa yang penting kita kena faham situasi dan kenal siapa kita. Jadi, bila masuk set kita boleh melakonkan watak mengikut situasi yang diminta,”

Tidak hanya bersandarkan kepada bakat semata-mata, Wan Hanafi mengingatkan sesiapa sahaja yang ingin menjadi pelakon untuk memiliki disiplin yang baik dan ilmu sebagai bekalan sepanjang perjalanan menjadi anak seni.

“Industri kita kecil. Kau buat tahi satu produksi, semua orang akan tahu. Selain dari bakat, kita juga mesti ada ilmu. Carilah, sebab sekarang banyak sekolah menawarkan ilmu lakonan,” katanya.

Filem BU (Kasih Suci) merupakan filem terbaharu arahan Jeany Amir yang berkisahkan tentang pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu. Selain Wan Hanafi Su, filem ini turut dibintangi  Remy Ishak, Rashidi Ishak, Nadiya Nisa, Iedil Putra, Nadia Brian, Tia Sara, Dian P. Ramlee dan ramai lagi. Filem ini bakal menemui penonton pada 11 April ini.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my