Inspirasi Dhia

Ini cerita dari daerah magis anak-anak terpinggir

Oleh  | 

KAMI tiba di sebuah rumah berwarna putih yang dipanggil Balai Budaya kira-kira pukul 11 pagi. Dari luar kedengaran sayup-sayup suara kanak-kanak  melontar dialog.

Kami disambut seorang perempuan berkaca mata dipintu mempersilakan masuk. Kanak-kanak sedang berlatih memegang buku skrip masing-masing.  Tumpuan mereka sedikit terganggu dan sesekali menoleh kami diarah belakang yang kelihatan asing dalam lingkungan mereka.

Kami difahamkan projek teater ini digerakkan oleh sebuah badan bukan kerajaan yang menggelar diri mereka sebagai Teach For The Needs (TFTN). Kumpulan ini akan masuk ke sekolah dan asrama anak yatim untuk membantu anak-anak agar tidak tercicir dalam pelajaran.

Anak-anak marginal selalu dikaitkan dengan masalah keyakinan diri yang rendah seterusnya membuatkan mereka tertinggal dalam arus pembelajaran perdana.

TFTN melalui Akedemi Seni TFTN (ASET) percaya seni juga boleh mengubah hidup seseorang. Mereka kemudian bergabung tenaga mencipta sebuah model teater. Ia kemudian dilakonkan dan dipersembahkan oleh anak-anak marginal ini.

Di tengah ruang rumah, kami melihat seorang wanita  dengan tudung dililit kebelakang berbaju hitam sedang sibuk mendengar dialog anak-anak. Beliaulah Fazleena Hishamuddin atau lebih mesra dipanggil Kak Faz, seorang penggiat seni yang bertanggungjawab mengarah projek khas iaitu sebuah teater bertajuk Mona ke daerah M.

Pelakon teater ini adalah anak-anak yang dikumpulkan dari pelbagai latar belakang. Anak-anak ini datang daripada sekolah berbeza termasuklah Wisma Yatim Batu Pahat, Pusat Jagaan Darul Sakinah, Pusat Bimbingan Alternatif al-Islamiyah Kajang, Rumah Kebajikan Al Khairiah dan Buku Jalanan Chow Kit.

Kami sudah berjanji tidak akan mengganggu sesi latihan. Di sudut belakang kami menyiapkan peralatan untuk rakaman.  Saya datang meghampiri kelompok kanak-kanak yang sedang tekun membaca skrip teater mereka  dan meminta keizinan untuk ditemuduga. Anak-anak cerdas ini tidak menolak. Malah tersenyum menampak barisan gigi sebelum berkata

Boleh

Ini adalah cerita mereka.

Irwanshah, 11

Cita-citanya ingin menjadi seorang pelakon macam Shamsul Yusuf. Selain itu, dia teringin ingin melanjutkan pelajaran ke London dan mendapatkan kerja dengan gaji yang besar. Dia bertekad untuk menggunakan wang tersebut membantu keluarganya.  Ditanya apakah perasaannya pertama kali menceburkan diri dalam dunia teater, Irwan mengaku sedikit malu pada awalnya dan gemuruh.

“Tapi saya cuba.” katanya tersenyum.

Mei, 11

Kami bertemu Mei, gadis hitam manis yang juga berumur 11 tahun.  Mei gadis yang banyak bercita-cita. Tinggal di perumahan flat yang menjadi sarang penagih dadah telah mendorong Mei menjadi seorang polis. Gadis ini kemudian membesar dan mempunyai cita-cita baru iaitu seorang juruterbang. Mei ingin mengembara dan meneroka dunia. Dia seorang anak yang cerdas. Dia sedang berjinak-jinak mempelajari bahasa Jepun. Mei merasakan peruabahan apabila teater telah banyak membantunya membina keyakinan diri.

Qayyum, 14

Beralih pula kepada Qayyum, bercita-cita menjadi penyanyi membuatkan adik bercermin mata ini sangat meminati Wany Hasrita. Qayyum sempat menyanyikan kami sebuah lagu Wany Hasrita. Berbual tentang seni, Qayyum berkata ia sangat mencabar memandangkan skrip teater kali ini lebih panjang. Tapi anak kecil ini selalu bersemangat untuk meharungi cabaran baharu ini kerana dikelilingi kawan-kawan baru.

Sapnahbidi, 10

Sapnahbidi pula bercita-cita menjadi seorang doktor untuk membantu ibunya.

“Kalau ibu sakit, luka nanti, Sapnah boleh tolong” katanya. Dia selalu jadi yang terawal merawat kawan-kawannya yang sakit. Sapnah tidak menyangka akan terlibat dalam dunia seni. Tapi cikgu di sekolahnya telah meyakinkan Sapnah untuk mencuba sesuatu yang baru. Cikgu adalah alasan mengapa Sapnah berada bersama kawan-kawan barunya hari ini dan menjalani sesi latihan sebelum pementasan.

Haziq, 10

Haziq memberikan cerita yang berbeza. Ketika masih kecil, Haziq memang dekat dengan dunia seni apabila bapanya selalu membawanya menonton  teater. Namun bapanya telah meninggal dunia.  Berlakon dalam teater kali ini membuatkan Haziq terkenangkan bapanya sesekali. Tiada siapa yang akan menonton lakonan pertama Haziq. Rumah yang jauh dan kereta ibunya yang rosak tidak pula membuatkan Haziq lemah semangat untuk melakukan pementasan.

Setiap daripada mereka mempunyai cerita yang berbeza. Mereka mungkin tidak bernasib baik mempunyai kehidupan yang selesa macam anak-anak kita yang lain. Tapi lihatlah, bagaimana anak-anak ini berdiri dengan impian yang mereka miliki.

Teater Mona ke Daerah M akan mula dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 21 hingga 23 Disember ini. Tiket sudah mula dijual bermula harga RM40.

Kami pulang sementara di telinga saya terngiang-ngiang sebuah kata-kata daripada seorang penulis bernama Andrea Hirata.

“Bermimpilah yang besar, Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu”

Kereta kami meluncur meninggalkan perkarangan Balai Budaya dan membiarkan anak-anak itu terus membesarkan mimpinya.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my