Serious?!

Joker: Mungkinkah setiap penjenayah adalah orang baik yang terluka?

Oleh  | 

BEBERAPA hari sahaja setelah filem Joker menjengah pawagam, ada sebuah gambar berlegar-legar di laman sosial menunjukkan seorang gadis memegang sebuah kertas bertulis,

‘Orang jahat ialah orang baik yang terluka’

Sis harus memberikan kredit kepada empunya gambar kerana sepanjang menonton filem Joker ini, ayat itu seperti berbisik-bisik dan berulang di dalam kepala sis. Kepada sesiapa yang menonton Batman, pasti sudah mengenali sisi Joker yang ganas, kejam dan angkuh serta dianggap membahayakan.

Di saat orang asyik bercakap tentang hero, pahlawan yang menyelamatkan dunia. Di tangan Todd Phillips sebuah sudut pandang lain tentang hidup telah dibelah dan dipersembahkan kepada umum dengan melahirkan Joker sebagai salah satu hasil karyanya.

Walaupun ada yang memberikan pelbagai kritikan terhadap filem ini yang mengangapnya seolah membawa sebuah gagasan yang membahayakan. Namun, pada pendapat sis, ada beberapa isu yang dibangkitkan di dalam filem ini wajar diangkat dan dipandang secara serius untuk difikirkan.

Pernah tak kita terfikir, sebelum sesiapa sahaja menjadi penjenayah, apakah yang telah dilaluinya sehingga menjadikan dia seorang yang keras hati dan kejam? Tidak ada sesiapa yang merasakan persoalan itu penting. Namun Joker membincangkan keseluruhan sudut pandang seorang pemberontak di dalam filem ini.

Sebelum dia memutuskan untuk menjadi pemberontak dan menukar nama sebagai Joker,  lelaki  bernama Arthur Fleck adalah seorang lelaki yang baik apabila berusaha bermati-matian untuk menjaga seorang ibu yang sakit. Dia seorang lelaki yang bercita-cita tinggi ingin menjadi seorang comedian.

Namun, pelbagai siri kekecewaan telah dihadapinya seperti dikhianati kawan, didera sejak kecil, dipukul, diremehkan masyarakat, dimalukan hingga akhirnya membuatkan dia mengalami gangguan mental serius sebelum akhirnya memberontak. Nama Joker meledak dan masyarakat menganggap ia sebagai simbol kebangkitan terhadap sebuah sistem yang bobrok.

Jika sahaja orang disekelilingnya hanya mahu berhenti sekejap dan memberi peluang untuk Joker memberi penjelasan mengenai sakit yang dialaminya – dia akan selalu ketawa walaupun tidak bermaksud begitu. Jika masyarakat memberinya sedikit ruang untuk bergaul dan melayaninya sama seperti manusia normal. Mungkin Joker akan dapat merasai sedikit keindahan di atas muka bumi  selain kesedihannya sendiri.

Mungkin watak seperti Joker memang wujud dalam kehidupan kita sehari-hari. Ada sebab kenapa ahli keluarga atau sahabat terdekat kita tiba-tiba berubah menjadi seorang pemberontak walaupun tidaklah sedahsyat Joker.

Mungkin kita tidak memberi ruang untuknya untuk bersuara atau kita sebenarnya tidak betul-betul mahu mendengar. Filem Joker meninggalkan kita satu mesej penting bahawa setiap orang yang kita sangkakan tidak mungkin akan berbuat apa-apa kepada kita boleh menjadi seseorang yang luar biasa berbeza setelah dia benar-benar terluka.

Jadi, sudahkah kita menyelamatkan hidup orang lain hari ini dengan memberikan ruang untuk mereka merasai kebaikan daripada kita?

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my