Inspirasi Dhia

“Kalau bukan sebab mak ayah, saya dah lama bunuh diri” -Beha bongkar cerita melawan kanser

Oleh  | 

TIADA siapa yang dapat membaca dan meramalkan ketentuan Tuhan. Itulah yang dihadapi oleh Nur Nabihah Mohammad iaitu seorang pejuang kanser Lympoma yang masih terlalu muda sewaktu disahkan doktor menghidap penyakit itu sejak 4 tahun lalu.

Nabihah atau lebih mesra dipanggil Beha merupakan antara pemenang peraduan Shopping Sampai Lebam anjuran Dhia tahun lalu. Beliau sempat menulis untuk menghadiahkan kemenangannya kepada ibu dan ayah yang banyak berkorban semenjak Beha disahkan kanser.

Terpanggil untuk mendalami kisah gadis berumur 25 tahun itu, team Dhia telah ke teratak keluarganya sendiri di Tampin baru-baru ini untuk mendengar kisah selanjutnya.

“Tak terfikir pun akan ada  kanser. Mula-mula ingatkan bila  selalu batuk, sesak nafas, dan gatal adalah sebab saya penat setiap hari ke kelas.

“Tapi lepas check di hospital dan lalui banyak prosedur yang merenyahkan juga lakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan ada ketumbuhan pada bahagian paru-paru dan jantung,” ujar Beha sewaktu bercerita tentang tanda-tanda awal kanser.

Selepas berpindah dari satu hospital ke hospital yang lain hanya untuk mendapatkan rawatan dan biopsi, akhirnya doktor mengesahkan bahawa Beha yang masih berumur 21 tahun pada waktu itu telah menghidapi kanser Lymphoma tahap satu.

Kanser Lymphoma sebenarnya tergolong dalam kanser darah, ia akan menyerang kalenjar dalam badan sehingga membuatkan imunisasi badan menjadi lemah. Menurut Beha, kanser ini tiada ubat melainkan rawatan kemoterapi, radioterapi, transplan, dan ia tidak boleh dibedah.

“Waktu diberitahu saya disahkan kanser, saya tak nangis sebab sebelum itu doktor ada bagi hint. Tapi  malam itu waktu solat jemaah dengan ibu. Saya dengar ibu baca Al Fatihah sambil menggigil, lepas habis solat saya terus peluk ibu.

“Itu adalah perkara yang tidak boleh dilupakan. Walaupun ia adalah perkara yang sudah terjadi 4 tahun yang lalu, tapi saya masih terasa sedih,” cerita Beha yang tidak dapat membendung rasa sebak dan menyeka air mata yang jatuh.

Tangisan sepanjang perjuangan

Bercerita tentang cabaran yang dihadapi, Beha berkongsi kepayahannya sewaktu awal-awal mendapatkan rawatan.

“Waktu awal-awal nak dapatkan rawatan, kami kena ulang alik dari Tampin ke Petaling Jaya setiap hari. Cuba korang bayangkan, memang memenatkan”

 “Waktu kemoterapi pula, ibu memang akan bacakan Al Quran supaya saya tak bertindak yang bukan-bukan. Sebab waktu kemoterapi, otak kita tak dapat berfikir dengan jelas. Kadang waktu solat bacaan pun tunggang langgang,” katanya.

Ibu Ayah sebagai tulang belakang

FOTO: Instagram @Behamat

Kanser memang banyak bermain emosi dan menyakitkan. Namun menurut Beha, ibu dan ayah adalah sebab utama kekuatan yang mendorongnya selama ini.

“Ibu dan ayah adalah orang yang banyak memberikan sokongan. Tanpa mereka saya rasa saya dah bunuh diri.

“Bila kita tengok ibu kita penat, itu lebih sedih. Bayangkan pada umur dia 58 tahun, sepatutnya sayalah yang jaga dia. Tapi sekarang dia pula yang jaga saya, yang lap air kencing saya, tukar pampers waktu saya kena duduk atas kerusi roda dan tak boleh jalan,”

#JourneyToHeal

Beha tidak pernah menjadikan kanser sebagai alasan untuk mengalah. Beliau terus bangkit dan menuliskan catatan hariannya melawan kanser di dalam blog dan vlognya yang diberi nama #journeytoheal.

“Saya menulis di blog untuk berkongsi kepada orang ramai tentang kanser seperti apa nak buat bila tahu kita mempunyai kanser dan sebagainy

 “Bila didiagnos kanser, memang kita akan sedih pada awalnya. Tapi hidup ini adalah suatu perjalanan yang kita harus laluinya.  Segala kesakitan akan berakhir.

“Kalau kita ada kanser, orang cakap kita akan mati. Kalau tak ada kanser pun, kita akan mati. Jadi, semua orang mati dan kita hiduplah macam biasa. Segalanya bermula dengan macam mana kita fikir walaupun banyak tangisan,” katanya lagi sebelum mengakhiri temu ramah.

Korang boleh tonton cerita penuh Beha di DHIA TV. Semoga Allah memberi kekuatan kepadanya dan mereka yang berjuang melawan kanser di luar sana. Dhia sentiasa bersama korang. Keep on fighting!

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my