Inspirasi Dhia

Kalau nak tengok hati korang dipermainkan, tontonlah Ola Bola The Musical!

Oleh  | 

‘Setiap manusia mampu menjadi wira, luar biasa’

SEPERTI mentera, bait lirik berkenaan berkali-kali disebut dalam pementasan teater ini sekali gus merangkumkan mesej penting yang ingin disampaikan dalam cerita Ola Bola The Musical.

Menerusi produksi terkenal Enfiniti Productions, hasil karya yang dipersembahkan rumah produksi itu tidak pernah mengecewakan. Hampir tiga jam menonton Ola Bola The Musical yang diarahkan oleh Puan Sri Tiara Jacquelina, kita seperti berada di sebuah dunia lain yang penuh dengan magis!

Ketika bidai putih Istana Budaya itu diangkat dan lampu pentas dinyalakan, penonton sudah dapat menangkap aura dan semangat seperti berada di stadium.

FOTO: optionstheedge

Ola Bola membawa kita kembali tenggelam ke sebuah zaman di mana pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya betul-betul bertaring dan digeruni kehandalannya.

Dilengkapi dengan prop pentas dan baju pelakon yang berlatarkan zaman 80-an, kita bagai kembali ke masa silam menyaksikan bagaimana realiti kehidupan masyarakat zaman itu bergelut untuk mewujudkan impian menjadi seorang pemain bola sepak atau pulang ke tempat asal masing-masing untuk membantu ekonomi keluarga. Maklum sahajalah ekonomi negara pada zaman itu agak mendesak.

FOTO: optionstheedge

Penonton tidak hanya disajikan dengan cerita Harimau Malaya melayakkan diri ke Olimpik, tapi tentang semangat perpaduan dan pengorbanan yang dilakukan untuk membawa nama Malaysia ke pentas dunia turut dirasai sepanjang pementasan.

Lihatlah bagaimana pasukan lagenda negara kita yang diketuai oleh Chin Aun yang dipanggil Tauke ini menggetarkan pihak lawan dan membawa pasukannya mengaum di atas padang. Perhatikan bagaimana mereka begitu licik, menggelecek, memintas pihak lawan. Ajaib sekali, aksi ini dapat dilihat dan dipersembahkan di atas pentas teater!

Teater Ola Bola The Musical nampaknya benar-benar menjanjikan kelainan. Mana tidaknya rapper terkenal tanah air Altimet turut menjadi sebahagian daripada projek besar ini. Tentu sahaja lagu seperti I Cover You atau Luar Biasa pasti akan terngiang-ngiang selepas pementasan.

Kalau korang merasakan menonton Ola Bola The Musical ini hanyalah sekadar ulangan apa yang pernah ditayangkan di filem, ketahuilah bahawa assumption korang sangat meleset.

Pergilah ke pementasan Ola Bola The Musical. Kemudian, korang akan perhatikan bagaimana tempoh tiga jam itu boleh membuat korang menangis, bersemangat, berdebar seperti dipermainkan. Banyak perasaan dapat korang rasai sepanjang pementasan itu. Tidak hairanlah jika penonton semua berdiri dan memberikan tepukan hormat di atas pementasan yang luar biasa ini.

Pementasan Ola Bola The Musical masih berlangsung sehingga 3 Mac 2019. Pergilah menonton teater terbaik negara kita di Istana Budaya. Tiket masih dijual di buyticket.asia.

Ingat, semua manusia mampu menjadi wira!

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my