D-Life

Kawan korang baru berkahwin? Jangan tanya 3 soalan ini

Oleh  | 

SIAPA tak teruja bila rakan baik akan bergelar isteri kepada si pilihan hati. Bermula dari zaman bercinta sehinggalah ke majlis perkahwinan, memang korang lah yang sentiasa menjadi peneman setia. Berkongsi apa jua kisah, emosi dan situasi yang dihadapi, senang kata anda dan rakan langsung tiada rahsia!

Namun, benarlah kata orang bila dah kahwin ada perkara yang bakal berubah dalam diam. Rakan anda tidak lagi berkongsi apa jua isi dalam rumahtangga. Jadi jangan cuba-cuba untuk bertanyakan soalan yang sensitif sehingga mengundang rasa sakit hati. Jiwa hati orang boleh berubah, mana tahu dengan soalan yang korang anggap simple boleh mengeruhkan hubungan persahabatan. 

via GIPHY

Nah, ini 3 soalan cepumas yang tak perlu korang bertanya pada rakan yang baru sahaja berkahwin!

1 “Macam mana malam pertama?”

Ish! Tak malu sungguh nak bertanya bab-bab ranjang suami isteri orang. Fikir dahulu soal halal haram dan dosa pahala antara korang dan rakan. Kalau ingin tambah ilmu sekalipun tentang hubungan seksual. Cukuplah dengan ilmu yang ada di dalam ruangan Google.

via GIPHY

Dalam agama Islam sendiri juga melarang untuk suami atau isteri membuka aib pasangan lebih lagi tentang hal kelamin. Fahamilah peranan rakan korang yang baru ini. Dia sekarang tidak lagi boleh membuka pekung di dada tentang pasangannya pada korang. Samada kisah baik atau buruk ada sempadan untuk dikongsi. 

2 “Okay tak family mertua?”

Jangan sibuk nak jadi batu api atau ‘makcik bawang’ dalam urusan keluarga mertua rakan korang ye. Walaupun dia ada isu sekalipun dengan family in law, tanya pada diri anda. Layak ke korang untuk mengetahui segala-galanya. Jika rakan korang sendiri yang berkongsi cukup sahaja menadah telinga tak perlu tambah bara kedalam api. 

via GIPHY

Bukan apa secara tiba-tiba rakan anda dah dapat dosa percuma dengan hanya mengumpat tentang keluarga mertua. Tak ke niaya?! Fikir-fikirkan lah ye.

3 “Dah ada isi ke belum?”

Bagi korang yang belum kahwin pasti rasa soalan ini biasa sahaja tapi sedarilah soalan ini adalah yang paling menyentuh perasaan wanita sudah berkahwin. Jangan sesekali buat alasan pertanyaan ini sebagai topik perbualan. Tanpa kita sedar ia boleh menyinggung perasaan seseorang ditambah pula dengan pelbagai cadangan untuk mempercepatkan kehamilan. Hebat! Jadi sekarang anda bukan sahaja ‘makcik bawang’ tapi jadi pakar sakit puan pula? 

via GIPHY

Lebih lagi pada rakan korang yang usia perkahwin baru sahaja mencapai setahun. Cukup-cukuplah bertanya tentang anak. Kita sebagai sahabat rapat sekalipun belum tentu tahu isi hati dia. Entah dia merancang, belum bersedia atau mungkin menyorokkan masalah kesihatan. Biar dia dan pasangan yang menentukan, bukannya anda. 

Walau sebaik dan seakrab mana pun korang dan rakan-rakan tapi masih ada lagi batas dalam pergaulan. Terutamanya bila masing-masing sudah berumahtangga. Kena fahamlah, tak semua perkara boleh berkongsi lebih lagi cerita-cerita dalam selimut, aib suami mahupun keluarga mertua.

Sematkan dalam hati untuk berfikir dahulu sebelum menutur bicara. Jangan sampai silap soalan boleh menyakiti hati rakan sendiri. Berharap perkongsian kali ini dapat memberi manfaat pada pembaca Dhia!  


Penulis: Izzah Ab Aziz 

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my