D-Life

Kenapa biarkan hidup mati kita ditentukan oleh orang dungu di Instagram?

Oleh  | 

SEORANG kawan pernah memberitahu bahawa laman sosial terutama Instagram adalah tempat di mana semua orang berlumba-lumba untuk menayangkan hidup siapa lebih bahagia.

Ia juga adalah tempat paling ampuh untuk mengumpulkan seberapa banyak followers dan perhatian daripada publik. Sebab itulah wujudnya golongan yang sanggup buat beberapa siri video yang menunjukkan kebodohan masing-masing dengan harapan dapat menaikkan publisiti dan merebut perhatian masyarakat. Anehnya, mereka menjadi lebih bahagia setelah menayangkan kebodohan masing-masing.

Peratus penggunaan laman sosial dalam kalangan rakyat Malaysia sebenarnya tinggi. Lihat sahajalah hasil laporan yang pernah dikeluarkan Laporan Digital 2019 oleh Hootsuit dan We Are Social yang meletakkan Malaysia di tangga ke-5 paling aktif media sosial di dunia.

Jadi, apa masalahnya kalau rakyat Malaysia kita celik media sosial dan boleh berhubung dengan masyarakat dunia macam dalam sebuah kampung seperti yang dikata teori ahli fikir McLuhan?

via GIPHY

Di sinilah cabarannya, adakah kematangan masyarakat kita sama tinggi dengan peratusan penggunaan media sosial tadi? Adakah adik-adik kita sudah tahu bahawa tidak semua perkara boleh dikongsikan. Juga, tidak semua pilihan dan keputusan boleh kita serahkan bulat-bulat kepada followers di Instagram.

Mari kita teliti dan amati betul-betul kes di Sarawak yang berlaku baru-baru ini apabila seorang gadis berumur 16 tahun bertindak bunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga sebuah pusat membeli belah.

Polis mendedahkan kematian gadis itu tiada unsur jenayah. Namun setelah diselidik, tujuan remaja yang dikenali sebagai Davia Emilia itu bunuh diri adalah disebabkan undian daripada rakan-rakannya di Instagram.

“Sangat penting, Tolong Saya Pilih D/L  (Die/Live)” katanya dalam undian tersebut. 69 peratus daripada rakan-rakan Instagram gadis itu telah memilih mati.

FOTO: The Sun/UK

Sangat mendukacitakan apabila adik-adik kita sangat bergantung kepada media sosial sehinggakan soal hidup dan mati pun diputuskan oleh orang-orang di laman sosial. Tambahan pula, kita sendiri tidak pasti siapakah orang-orang dungu yang gembira dengan kematian adik Davia.

Lihatlah kuasa media sosial. Kita semua boleh menjadi Izrael. Hanya satu undian di hujung jari. Satu nyawa boleh melayang sekelip mata.

Dunia dan teknologi akan berlegar lebih pantas daripada hari ini. Adik-adik dan generasi kita perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa kekejaman laman sosial yang membahayakan. Ajarkan mereka untuk meletakkan keputusan di tangan sendiri. Bukannya di tangan orang-orang dungu di laman sosial yang akan bersorak dengan kematian orang lain.

via GIPHY

Mereka perlu diajar untuk saling berkongsi beban perasaan yang ditanggung di luar daripada media sosial. Masalah mental adalah sesuatu yang serius untuk dibincangkan. Ia tidak boleh diselesaikan hanya dengan undian di laman sosial.

Ajarkan mereka untuk bersahabat. Tunjukkan mereka dunia yang lebih indah daripada apa yang dipapar di laman sosial. Ajarkan diri kita dan adik-adik semua untuk hidup dengan sebenar-benarnya bahagia.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my