Inspirasi Dhia

Kenapa nak pergi sekolah? Ini alasan yang diberikan anak-anak Chow Kit

Oleh  | 

KENANGAN, memori adalah serangkai kata yang mengembalikan kita ke masa lalu. Sama ada ia baik atau sebaliknya, ia hidup di dalam fikiran dan kita akan membawanya bersama-sama sepanjang kita mendewasa.

Kita akan selalu terimbau masa kecil ketika ayah mengusap rambut dan menyuakan boneka ketika parti hari ulangtahun kelahiran. Kita juga akan teringat kenangan ibu membawa kita berjalan-jalan menaiki kereta atau bercuti di tempat-tempat istimewa. Semua itu kedengaran biasa untuk orang seperti kita.

Namun, untuk adik-adik yang dilahirkan dalam relung kemiskinan. Hal-hal semacam tadi kedengaran begitu jauh dan sukar sekali untuk digambarkan. Mereka tidak mempunyai peristiwa seperti itu untuk diisi dalam kotak kenangan.

Bagi Cha Cha, Aidil, Wahyu dan Zahid, kenangan masa kecil mereka banyak terisi di sebuah sekolah bernama Buku Jalanan Chow Kit. Di sinilah mereka diajar untuk percaya kepada harapan dan bercita-cita besar.

Berkesempatan berbual dengan mereka, saya melihat mata mereka yang bersinar sewaktu bercerita tentang impian mereka ketika menjengah dewasa.

Cha Cha seorang gadis manis berumur lapan tahun sedang melukis sebelum saya memanggilnya untuk temu ramah. Peminat artis Kpop BLACKPINK ini ingin menjadi doktor.

“Sebab nak tolong orang,” katanya sambil tersenyum.

Ia alasan sama yang diberikan Aidil yang berumur 10 tahun ketika memilih menjadi anggota polis.

 “Saya suka pergi sekolah sebab boleh belajar dan pandai solat. Lepas itu boleh main bola sepak dengan kawan baik saya. Yasa namanya,” sambungnya lagi.

Bagi Wahyu, seorang adik yang bermuka bulat dengan senyuman yang tidak pernah lekang. Dia ingin menjadi pemain bola sepak negara dengan menyandang posisi penyerang.

“Saya ada kawan baik. Rafik namanya. Kitorang selalu main sorok-sorok. Selalu kami main bola sama-sama. Nanti nak ajak dia jadi pemain bola sepak juga sebab dia kawan saya,”

Beralih kepada Zahid. si cilik ini pula menyimpan angan-angan untuk menjadi seorang pilot. Katanya, demi mencapai cita-cita tersebut, dia akan ke Singapura.

Zahid bertekad untuk kembali semula ke sekolah ini jika sudah mencapai cita-citanya untuk membantu kawan-kawan yang lain.

Apabila ditanya apakah pesanan yang ingin diberikan kepada cikgu-cikgu yang telah mengajarnya. Ini jawapannya.

“Zahid berjanji satu hari nanti akan menjadi orang yang berguna”

Entah mengapa jawapan itu begitu berbekas kepada saya.

Berbual dengan mereka seolah-olah membuat kita pulang kepada diri sendiri. Kita kembali terkenang siapakah kita ketika seusia mereka. Adakah mendewasa membuatkan kita berhenti bermimpi dan berputus asa daripada berjuang untuk memiliki apa-apa yang inginkan?

FOTO: Facebook Buku Jalanan Chow Kit

Adik-adik di Buku Jalanan Chow Kit telah membuktikan mimpi dan cita-cita boleh tercipta di mana-mana. Ia tak mengenal saiz bilik darjah, pekerjaan ibu ayah atau berapa kali hidangan di rumah.

Ia hanya memerlukan sebuah hati  yang tidak mudah mengalah kepada keadaan  dan berani bermimpi lagi dan lagi.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my