Inspirasi Dhia

Kisah Lee Chong Wei dan sorak-sorai di mamak

Oleh  | 

KETIKA jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengalirkan air mata mengumumkan pengundurannya. Bermacam-macam perkara bermain dekat kepala sis.

Sebagai seorang yang kurang mengikuti perkembangan sukan, tapi sis masih ingat pada suatu hari ketika masih belajar di sebuah universiti tempatan. Seorang kawan menghubungi sis untuk ajak lepak di mamak.

“Malam ni Lee Chong Wei lawan, kita kena tengok dekat mamak baru semangat,” sis tak tahu kenapa rakan sis begitu bersemangat. Sis berbasa-basi waktu itu kerana ada beberapa tugasan yang perlu diselesaikan.

“Ini bukan biasa-biasa, Fa. Ini Lee Chong Wei. Siap cepat, aku ambil kau kita pergi mamak,” kerana tak mempunyai pilihan lain, sis pun akur sahajalah. Lagi pun memang tengah lapar.

Sis masih ingat waktu itu ialah pertandingan badminton Olimpik Rio. Buat pertama kali sis tengok mamak sangat penuh. Lebih penuh daripada menonton bola sepak. Skrin layar besar telah dipacakkan agar semua boleh menyaksikan perlawanan itu dengan jelas.


Seperti biasa, Lee Chong Wei tidak boleh lari untuk berentap dengan seteru kuatnya iaitu Lin Dan yang mewakili China. Masing-masing berentap dengan sangat hebat. Gegak gempita mamak dibuatnya. Jika Lee Chong Wei jatuh, ada sahaja yang berdiri menjerit.

“Go Chong Wei, sikit lagi!”

Jika Lin Dan berjaya mendapatkan mata, masing-masing mengeluh beramai-ramai. Namun sis masih ingat ketika Lee Chong Wei berjaya memukul bulu tangkis terakhirnya sebelum disahkan menjadi pemenang, penonton di mamak bersorak-sorak. Masing-masing saling gembira menyaksikan kemenangan itu.

via GIPHY

Ada yang berlari-lari di sekeliling mamak. Walaupun sis tak kenal siapakah orang di meja sebelah. Tapi kami sama-sama bertegur sapa dan mengucapkan tahniah. Tak kira bangsa dan agama. Sis lihat kaum India dan Cina pun ada di mamak malam itu menyaksikan kemenangan bersejarah itu. Malam itu begitu magis sekali!

Pertarungan kali itu begitu bermakna. Keesokan harinya wujud pula kisah surat cinta palsu antara Lin Dan dan Lee Chong Wei. Tak tahulah kalau korang masih ingat. Walaupun surat itu dikarang oleh seorang wartawan China kerana terharu dengan perlawanan itu, tapi ia telah membuktikan bahawa betapa terkesannya penonton antara China dan Malaysia kerana mengetahui bagaimana kedua-dua pemain itu saling berusaha untuk menang di dalam gelanggang tapi sahabat di luar gelanggang.

Setelah 19 tahun Lee Chong Wei berjuang mengharumkan nama Malaysia. Kini jaguh kesayangan kita memutuskan untuk ‘menggantungkan raketnya’ sekali gus menguburkan hasrat Lin Dan untuk bertemunya sekali lagi di dalam gelanggang di kejohanan Tokyo 2020 nanti.

Apapun, jasa dan bakti Lee Chong Wei tidak mungkin kami lupakan. Terima kasih Dato Lee Chong Wei atas perjuanganmu!

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my