Inspirasi Dhia

“Kita perlu tahu apa yang kita nak buat dalam hidup kita”- Zahariah Abdul Rahman

Oleh  | 

MENJADI seorang wanita bekerjaya pada darsawarsa ini sememangnya merupakan cabaran yang perlu diharungi oleh wanita-wanita modenis pada zaman milenium. Lebih-lebih lagi kehidupan kita sebagai wanita tidak hanya berpaksikan pada satu perkara sahaja.

Sebagai seorang wanita yang mempunyai karier, kita perlu bijak membahagikan masa dan kehidupan kita terhadap keluarga, karier dan perkara-perkara lain. Namun, cabaran ini bukanlah satu perkara yang perlu dikhuatiri kerana jika kita bijak mengelola kehidupan kita dengan baik, ianya tidak akan menjadi satu kesulitan untuk kita mengharungi cabaran-cabaran hidup yang mendatang.

Ini merupakan sebuah topik yang telah telah didiskusikan menerusi sebuah acara bual bicara Leap Further anjuran Ripple. Seramai 3 orang panel yang berlainan latar belakang pekerjaan telah dijemput untuk berkongsi buah pendapat dan pengalaman mereka berkaitan isu ini.

Salah satu panel Leap Further ini iaitu Zahariah Abdul Rahman yang juga merupakan Senior General Manager Petronas telah menjelaskan bahawa apabila seseorang wanita itu berada dalam sektor pekerjaan, tidak ada salahnya  wanita itu memilih untuk menjadi diri mereka sendiri asalkan ianya tidak melanggar aturan-aturan yang sememangnya telah ditetapkan di tempat kerja.

Pada pandangan Zahariah sendiri, wanita bekerjaya pada hari ini masih lagi memandang stereotaip orang ramai  sebagai satu perkara taboo yang boleh memburukkan nama dan karier mereka sendiri. Sebagai contoh, tidak ada salahnya kita mewarnakan rambut atau memakai pakaian yang kita gemari asalkan ianya tidak melanggar tatatertib dan peraturan di tempat kerja kita.

“Tak ada salahnya kita jadi diri kita sendiri walaupun kita berada dalam komuniti kerja yang berbeza penampilan dengan kita. Mewarnakan rambut anda kepada warna merah bukanlah satu perkara yang salah, ianya sebuah pilihan. Kita perlu tahu apa kita nak lakukan dalam hidup kita. Asalkan kita tahu batas kita dan masih lagi mengikut aturan,” 

Selain itu, Zahariah juga menegaskan bahawa seorang wanita yang mempunyai kerjaya perlu tahu apa yang mereka mahukan dan perlu bersikap rasional apabila berhadapan dengan sesebuah perkara. Kesimpulannya, kita tidak perlu takut untuk melakukan perkara yang ingin kita lakukan terhadap diri kita dan ianya tidak menjadi satu permasalahan selagi perkara itu tidak melibatkan orang lain dan mengganggu prestasi kerja kita.

Kehidupan kita pada hari ini sememangnya tidak akan lari daripada menerima kritikan-kritikan yang pelbagai daripada orang ramai sama ada positif mahupun negatif. Oleh itu, sikap rasional perlu dipupuk dalam diri kita supaya kita dapat mengawal situasi seperti ini  dengan mudah dan baik.

Menjadi rasional juga bermaksud kita menjadi seorang yang realistik. Tidak ada manusia yang sempurna di dunia dan ini merupakan ungkapan yang sering kita dengari saban hari. Ini bermakna kita tidak perlu memikirkan pandangan orang lain tentang diri kita selagi ianya tidak menjejaskan reputasi karier kita di tempat kerja.

Sebagai penutup, Zahariah juga mengajak wanita-wanita bekerjaya agar sama-sama  saling menghormati antara satu sama lain supaya nilai kemanusiaan dapat disemai sekali gus dapat menghapuskan stereotaip-stereotaip yang sering menjadi satu halangan kepada wanita-wanita bekerjaya untuk menjadi diri mereka pada hari ini. Tegasnya lagi, lakukan apa sahaja yang kita mahukan asalkan ianya tidak melanggar batas yang telah dituntun oleh sesebuah organisasi kerja dan kita masih lagi mempunyai sifat saling hormat-menghormati sesama manusia.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my