Serious?!

“Lepas tekap badan Zulfarhan guna seterika, saya keluar hisap rokok,”- Pengakuan tertuduh dalam kandang

Oleh  | 

KES kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain masih lagi menjadi perhatian seluruh warga Malaysia. Selepas kes ini dianggap sebagai prima facie pada Julai lalu, hari ini tiba giliran para tertuduh untuk membela diri.

Tertuduh pertama yang dikenali sebagai Muhammad Akmal Zuhairi mengakui menekap anggota badan Zulfarhan menggunakan seterika wap. Menurutnya lagi, Zulfarhan menjerit kesakitan namun tidak melawan.

Akmal berkata demikian ketika menjawab pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim semasa prosiding membela diri dihadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

BACA: Kes Zulfarhan: Apa jadi setelah tertuduh diarah bela diri?

Dia bukan hanya menekap badan Zulfarhan di bahagian tapak kaki dan lutut, malah turut melakukan hal yang sama di bahagian yang lain. Dalam prosiding itu juga, Akmal mengaku ada menyapu losyen gamat pada luka yang dialami Zulfarhan dan membawanya ke klinik As-Salam namun tidak membawanya ke klinik UPNM.

Julia: Sepanjang Zulfarhan dicucuh dengan seterika, adakah kamu cuba untuk menghentikan perbuatan itu.

Muhammad Akmal: Tidak hentikan.

Tertuduh juga mengakui sebagai pegawai kadet dan pelajar universiti itu, tindakan yang dilakukannya itu salah dan tidak mengikut undang-undang.

FOTO: OMM

Muhammad Akmal berkata selepas Zulfarhan mengaku bahawa dia mengambil komputer riba dan memohon maaf serta meminta sedikit masa untuk mengganti semula barangan tersebut, dia tidak membuat laporan kepada pihak atasan

Julia: Saya katakan kamu tak buat laporan sebab kamu tahu perbuatan kamu memukul Zulfarhan adalah salah dan akan diambil tindakan.

Muhammad Akmal: Saya tak setuju. Kebiasaannya, di UPNM tak ada apa yang berlaku.

Julia: Jadi budaya disitu, pukul orang tak ada apa yang berlaku, curi komputer riba kena buang. Itu yang kamu maksudkan

Muhammad Akmal: Ya Yang Arif.

Ketika disoal oleh Amer Hamzah adakah tertuduh ada memohon maaf kepada Zulfarhan, ini jawapannya.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya, Muhammad Akmal, menjelaskan dia membawa Zulfarhan keluar dari UPNM untuk mendapatkan rawatan di klinik tersebut kerana ingin tahu keadaan luka di tubuh badan mangsa, sama ada terdapat jangkitan atau tidak.

Disoal Amer Hamzah adakah tertuduh ada memohon maaf kepada Zulfarhan dan bagaimana keadaan mangsa ketika itu, tertuduh menjawab dia ada meminta maaf kepada Zulfarhan kerana telah menggunakan seterika wap terhadap rakannya itu.

FOTO: OMM

“Keadaan Zulfarhan ketika itu baik dan lukanya ada yang beransur pulih serta ada yang berair,” katanya.

Amer Hamzah: Boleh jelaskan kenapa kamu tidak setuju dengan cadangan pendakwaan bahawa kamu dan rakan-rakan melakukan cucuhan menggunakan seterika berulang kali secara bergilir-gilir

Muhammad Akmal: Sebab saya tak nampak mereka buat guna seterika. Selepas saya buat (tekap) saya pergi tandas dan keluar merokok.

Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Sumber: Bernama

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my