Inspirasi Dhia

“Miskin kota, gelandangan, kita perlu beri mereka peluang”- Sukarelawan Dapur Jalanan buka cerita

Oleh  | 

KETIKA dunia sedang bergelut memikirkan bagaimana untuk menghadapi revolusi ekonomi digital agar tidak ketinggalan jauh dari negara maju yang sedia ada, mari kita tutup sekejap komputer riba.

Di mana korang berada saat membaca artikel ini? Adakah di kedai mamak, kedai kopi hipster, dalam kereta api atau di dalam pejabat?

Adakah apa yang disekeliling kita memberi petanda bahawa prestasi kadar kemiskinan negara kita akan lebih baik untuk tahun-tahun menjelangnya era digital?

Mari kita bercerita tentang golongan miskin kota yang tersepit dicelah megahnya kota raya. Tak ada yang memahami mereka lebih daripada kumpulan sukarelawan seperti Dapur Jalanan Kuala Lumpur.

Mereka adalah pemerhati yang mendengar degup tulen warga kota raya ini. Baru-baru ini, team Dhia sempat bertemu salah seorang sukarelawan bernama Muhd Amirul Afiq di Kelab Bangsar Utama untuk bercerita lebih tentang kota raya dan warga yang terpinggir.

Capati menu pertama

Dapur Jalanan ialah sebuah inisiatif yang dibangunkan oleh sekumpulan anak muda bagi memberi bantuan makanan kepada warga miskin kota.

“Waktu awal-awal dulu, kami kumpul duit sesama sendiri untuk beli barang masakan. Menu pertama kami capati. Kami beri di Jalan Panggung. Tapi sekarang, alhamdulillah menu sudah kami pelbagaikan” cerita Afiq.

FOTO: Instagram Dapur Jalanan

Ada banyak stereotaip menyatakan golongan miskin bandar adalah kelompak malas dan hanya berharap kepada ihsan orang ramai untuk hidup. Namun, Afiq tidak bersetuju dan membidas kenyataan itu sekali gus menjelaskan akar permasalahan ini bermula.

Bukan malas

“Berdasarkan kajian kami, 90 peratus mereka yang miskin bandar ini sebenarnya mempunyai pekerjaan. Antara pekerjaan mereka termasuklah bekerja di kedai bundle, kedai makan dan mengutip tin.

“Cuma pendapatan seharian yang mereka terima masih tidak mampu untuk menampung kehidupan mereka.

“Sebab itulah ada yang tidur di kaki lima, sekitar masjid, depan bank atau sewa bilik hotal bajet yang murah. Saya pernah jumpa tiga keluarga tinggal di dalam sebuah rumah.

FOTO: Instagram Dapur Jalanan

“Memandangkan mereka tinggal di kawasan terbuka, maka terdapat banyak kes barang mereka dicuri sewaktu tidur” jelas Afiq.

Maka menurut Afiq, alangkah baiknya jika kerajaan membina satu kawasan atau locker untuk golongan miskin bandar ini menyimpan barang bagi mengelakkan kecurian.

Apa yang mereka perlukan

Golongan miskin bandar ini sebenarnya lahir daripada latar belakang yang pelbagai. Ada di antara mereka yang mempunyai rekod buruk seperti ditahan di dalam penjara. Maka, dalam situasi ini, agak sukar untuk mana-mana majikan mengambil mereka bekerja.

“Kalau tanya saya apa yang mereka perlukan. Saya rasa kita perlu berikan mereka peluang.

“Saya juga mengajar anak-anak di Chow Kit. Saya lihat mereka betul-betul semangat untuk belajar. Mereka membuka mata saya bahawa kita hanya perlu beri mereka ruang dan peluang untuk kehadapan.

Mereka perlukan harapan untuk teruskan kehidupan”

FOTO: Instagram Dapur Jalanan

Dalam kemelut inilah, kewujudan Dapur Jalanan dilihat sangat signifikan. Memandangkan memperoleh pekerjaan adalah sukar, maka kewujudan kumpulan sukarelawan seperti mereka setidaknya membantu mengisi perut golongan miskin bandar untuk meneruskan kehidupan.

“Saya rasa, masyarakat tak tahu bagaimana nak mulakan benda ini. Korang boleh mulakan dengan join mana-mana kumpulan sukarelawan.

“Tapi, ia memerlukan komitmen dan ia bukanlah benda yang senang untuk kita lakukan. Tanyalah kepada diri atas alasan apa kita lakukan semua ini,” kata Afiq menutup temu ramah pada hari itu.

FOTO: Instagram Dapur Jalanan

Kini, Dapur Jalanan sudah mempunyai 10 sukarelawan tetap. Mereka akan masak dan mengedarkan makanan di Jalan Panggung, Kuala Lumpur bermula jam 6 petang pada setiap hari Ahad. Afiq sedia menyambut dengan tangan terbuka untuk anak-anak muda yang ingin menyertai mereka dan berbakti kepada masyarakat.

*Cerita penuh temu ramah bersama-sama Afiq boleh ditonton di siri PM Tepi Je La, Youtube Dhia TV.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my