Serious?!

Ada apa tentang Natrah dan persoalan hak memilih seorang kanak-kanak?

Oleh  | 

JIKA kita menoleh sejarah lampau, pasti kita akan kembali terkenang peristiwa tahun 1950-an tentang seorang gadis bernama Natrah yang memberi impak kepada orang Melayu pada ketika itu.

Kisah tentang Natrah atau Maria Hurberdina Bertha Hertogh bermula apabila ibunya yang bernama Adeline Hunter meninggalkan gadis itu di bawah jagaan seorang wanita Melayu bernama Che Aminah. Natrah dibesarkan dengan didikan  dan cara hidup seperti kebanyakkan orang Melayu.

Beberapa tahun selepas itu, Ibu Natrah kembali ke tanah Melayu dan menuntut hak penjagaan ke atas puterinya itu. Nama Natrah secara tiba-tiba menjadi nama besar kepada orang Melayu pada ketika itu yang beranggapan kes itu tidak hanya berkenaan perebutan antara hak penjagaan, namun tentang pilihan dan hak seorang gadis dalam memelihara kesucian agamanya.

FOTO: Market Demon

Antara kisah lain yang turut sama dikaitkan dengan Natrah ialah kisah cinta antara gadis Belanda itu dengan seorang jejaka bernama Mansor Adabi yang pada ketika itu berusia 22 tahun. Tiada siapa yang begitu mudah melupakan kekuatan cinta pertama.

Begitulah juga apa yang terjadi kepada pasangan Mansor dan Natrah apabila mahkamah memutuskan perkahwinan mereka tidak sah memandangkan Natrah baru berusia 13 tahun semasa pernikahan itu dilangsungkan.

Kisah perkahwinan Natrah itu juga menjadi sangat kontroversi seterusnya membangkitkan perasaan tidak puas hati kerajaan Belanda kerana Natrah diklasifikasikan sebagai bawah umur walaupun gadis itu mempunyai perjanjian hanya akan ‘bersama’ Mansor ketika Natrah menginjak usia 21 tahun kelak.

Kisah Natrah hanya diketahui setakat itu dan ceritanya mula semakin menghilang selepas gadis itu dikembalikan ke Belanda. Kolaborasi antara rumah teater Juragan Pentas dan STUFF dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah mendedahkan  apa yang terjadi kepada Natrah selepas dirinya di bawa pulang ke Belanda menerusi Teater Muzikal Natrah.

Ia termasuklah perjuangan anak kecil itu meleraikan pergolakkan identiti yang berlaku pada dirinya yang masih muda seterusnya merungkai kisah seorang lelaki bernama Mansor yang menanggung rindunya sendiri-sendiri.

FOTO: Pocket Panda

Menurut Zuhairah Zamri yang juga merupakan penulis skrip teater Natrah proses penulisan mengambil masa kira-kira 8 bulan dan melalui beberapa tapisan untuk memastikan kesahihan fakta dan memurnikan lagi jalan cerita.

Teater ini juga  diiringi dengan sepuluh buah lagu yang digubah khas bagi memberikan kelainan kepada pementasan kali ini.

Hampir dua jam penonton disajikan dengan kisah apa yang terjadi kepada gadis malang itu. Ia termasuklah krisis pertembungan identiti apalagi selepas Natrah dimurtadkan dan dipaksa mengamalkan cara hidup yang baru di Belanda.

Tidak cuma itu, Natrah tidak membesar dengan cara sama seperti rakan sebayanya apabila dia sentiasa diperhatikan oleh pihak berkuasa Belanda.

Kisah cintanya juga berakhir apabila ‘seseorang’ telah mengirimkan surat menggunakan nama Natrah menyatakan bahawa gadis itu telah hidup bahagia dan meminta Mansor Adabi melupakannya. Penyesalan itu disampaikan melalui lagu  bertajuk Ditinggal Waktu yang dinyanyikan oleh Mansor Adabi lakonan Noor Helmi berbunyi :

Sayang, andai engkau tahu warkahmu didusta sembilu. betapa lemah diriku tertipu

 

FOTO: Pocket Panda

Itulah detik yang telah memisahkan dua hati itu sehingga memaksa Mansor membawa diri dan menikahi bekas muridnya. Setelah sekian lama tidak mendengar khabar daripada bekas suaminya, Natrah kemudian pasrah sebelum mengahwini seorang lelaki yang kemudian tidak bahagia.

Walaupun Natrah telah meningggal dunia, tapi kisahnya menjadi parut dalam sejarah bagi orang Melayu sehingga hari ini.

Tiada siapa yang boleh melupakan rusuhan yang berlaku lantaran kes Natrah itu akibat daripada media yang pada ketika itu cuba membangkitkan sensitiviti agama.

Foto: Pocket Panda

Kisah Natrah mungkin boleh berulang kembali sekiranya hak kebebasan bersuara dan ruang untuk memilih tidak diberikan kepada seseorang seperti Natrah.

Tragedi rusuhan Natrah tahun 1950 juga akan berulang sekirannya media masih menyimbah minyak ke dalam api dengan bermain isu-isu yang boleh melukakan hati pihak tertentu.

Teater ini juga sesekali membawa kita jauh terfikir, masihkan wujudkah ‘Natrah’ pada zaman kini yang sebenarnya sedang kita tindas haknya sebagai manusia? Apakah kita pasti  sudah menyiapkan tempat paling selamat dengan undang-undang, perasaan damai antara kaum dan sikap menghormati perbezaan untuk kita warisi kepada anak-anak kita di hari muka?

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my