Inspirasi Dhia

“Rakam video KLCC untuk tunjuk pada anak murid di ulu Sarawak”- kisah Cikgu Viral ini bikin sebak

Oleh  | 

TIADA siapa boleh menidakkan betapa berharganya kewujudan seorang guru dalam kehidupan kita. Kesabaran yang diberikan merekalah yang menjadikan kita manusia yang lebih bermakna sepanjang mendewasa.

Semalam, video seorang guru bernama M.K Izzuddin atau Cikgu Khairul yang memeluk anak muridnya dengan wajah sebak sewaktu hari terakhir mengajar di sekolah pedalaman Sarawak menjadi viral tiba-tiba. Sesiapa yang terserempak dengan video itu di timeline mereka pasti akan berhenti sejenak merasai betapa murninya kasih sayang antara mereka.

Sekolah yang terletak di Ulu Baram ini memegang status sekolah pedalaman yang jauh dari bandar. Untuk tiba ke sini, korang perlu menaiki hilux selama 7 jam. Bukan itu sahaja, kemudian korang perlu menaiki perahu untuk menyeberangi sungai. Cikgu Khairul hanya akan keluar bandar sebulan sekali untuk mendapatkan bekalan makanan.

Bercerita tetang cabaran yang dilaluinya sepanjang menjadi guru di sekolah pedalaman, Cikgu Khairul mengakui kekurangan fasiliti adalah antara perkara utama yang menjadi perhatiannya sejak dulu.

FOTO: Twitter M.K. Izzuddin

FOTO: Twitter M.K. Izzuddin

“Sekolah masih lagi bergantung kepada genset sebagai bekalan elektrik. Ia sangat terhad dan kami hanya bergantung kepada sumber yang ada. Pengetahuan anak-anak murid saya juga agak terhad.

Sebab itu kalau saya balik semenanjung, saya akan ambil gambar dan video sebanyak mungkin untuk tunjuk kepada mereka. Contohnya saya akan rakamkan video KLCC atau situasi dalam kapal terbang. Mereka sangat teruja menonton video itu,” ceritanya.

Tidak berhenti di situ, untuk membawa orang ramai mendekati kehidupan sebagai cikgu di pedalaman, Cikgu Khairul juga sempat memuat naik beberapa video travelognya tentang anak-anak di pedalaman Sarawak yang diberi nama ‘Kembara Pendidik Bumi Pedalaman’

“Berada ulu Sarawak banyak mengajar saya situasi dan realiti sebenar sekolah dipedalaman. Sebelum ini saya tak pernah terfikir pun akan ada sekolah sebegini,”

FOTO: Twitter M.K. Izzuddin

 

FOTO: Twitter M.K. Izzuddin

M.K Izzuddin kini telah menamatkan tugasnya sebagai seorang guru di Sarawak. Kini, lelaki berumur 30 tahun itu menyambung perjuangannya sebagai pendidik di SK Kuala Geris, Kelantan. Meninggalkan 40 orang anak murid yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri adalah keputusan yang sukar. Tapi perjuangan harus diteruskan.

“Saya harapkan anak murid saya mampu belajar sehabis baik untuk mengubah kehidupan mereka di ulu Sarawak. Buktikan bahawa anak-anak pedalaman juga boleh berjaya,” katanya mengakhiri perbualan.

FOTO: Twitter M.K. Izzuddin

Bebeberapa tahun nanti, anak-anak di pedalaman ini akan membesar dan mengakhiri episod zaman kecil mereka  di SK Long Palai. Tapi mereka tidak mungkin terlupa bagaimana bahagianya mereka memiliki seorang guru yang berhati besar.

Salute kepada semua cikgu dekat seluruh dunia ni!

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my