Inspirasi Dhia

Rasa ‘loser’, ‘give up’ bekerja? Kata-kata CEO ini yang korang perlukan

Oleh  | 

BUKAN sesuatu yang mudah untuk sesiapa sahaja keluar dari zon selesa masing-masing. Apatah lagi untuk golongan muda seperti kita yang masih mencari-cari hala tuju dan keputusan paling terbaik dalam hidup. Jauh dari rumah dan hidup di kotaraya sendirian. Ada banyak cabaran yang perlu dilalui untuk meneruskan kehidupan.

Ia adalah rencam hidup yang dilalui oleh sesiapa sahaja kerana harga sebuah kejayaan bukan murah. Jalan yang ditempuh tidak mudah. Ini adalah proses yang sama dilalui oleh CEO Leaderonomics, Roshan Thiran. 

Tiada siapa menyangka lelaki berkulit hitam manis dan tinggi ini boleh menghasilkan berbillion USD keuntungan untuk syarikat tempatnya bekerja. Pada waktu itu, beliau belum pun menginjak umur 30 tahun. Roshan, sama seperti kita, ketika diusia mudanya pernah mengalami krisis peribadi. Namun, ada dua peristiwa yang telah mengubah caranya memandang kehidupan.

Mereka yang berusaha akan berjaya

FOTO: Mystar

“Turning point yang paling bermakna adalah kata-kata dari seorang pemain bola sepak terkenal Mokhtar Dahari. Dia kata kepada saya, bukan mereka yang paling berbakat akan berjaya. Tapi mereka yang paling kuat berusaha. 

“Ketika terlibat dengan pasukan bola sepak sewaktu belajar di Amerika Syarikat, saya takut berhadapan dengan mereka yang datang daripada seluruh dunia. Mereka semua berbakat dan saya rasa saya tak sebagus mereka. Padahal sebenarnya kita juga bagus. Lama kelamaan bila sudah bermain dengan mereka dan berusaha dengan gigih. Saya dipilih menjadi pembantu kapten. Saya mula merasakan kita semua ada masalah tidak yakin diri.

Tidak hanya ketika bermain bola sepak, Saya pernah membuat keuntungan berbilion USD semasa bekerja di luar negara pada usia tidak sampai 30 tahun. Dan saya seorang Malaysian. Saya bukanlah warga Amerika atau Eropah. Jadi, kita kena ingatkan diri kita bahawa kita juga boleh lakukan cuma kita kurang keyakinan diri,” katanya ketika ditemui di Malaysia Leadership Summit 2019 baru-baru ini.

Sebagai seorang pemimpin yang pernah memenangi beberapa anugerah seperti Global HR award dan Malaysia HR Leader Award, Roshan merasakan setiap daripada kita adalah seorang pemimpin yang boleh melakukan perubahan. Walaupun ia datang dari perkara yang kecil.

Mulakan dengan perubahan kecil

FOTO: Instagram Roshan

“Ada sebuah cerita yang sangat menarik. Seorang lelaki ternampak ada banyak ikan terdampar di pantai. Dia pun mengutip ikan itu dan melemparnya ke laut agar ia boleh hidup. Ada seorang lelaki lain ternampak apa yang dilakukannya. Ada orang tegur dan cakap benda yang dilakukan lelaki itu sia-sia.

Tapi lelaki itu jawab, Tak apa lah, sekurang-kurangnya saya dah selamatkan 3 ekor ikan. Jadi orang tanya itu pun tolong campak juga. Lama-kelamaan, makin ramai yang datang dan tolong campakkan ikan itu bersama. Perubahan tak semestinya dimulakan dengan benda yang besar,”

Kegagalan adalah sebuah proses. Kita memang akan gagal, gagal dan berjaya. Persoalannya, adakah kita sanggup?

Ketika kita muda, kita masih tercari-cari apakah yang terbaik dalam hidup kita. Menurut Roshan, teruskanlah untuk meneroka dan mencuba pelbagai perkara. Di masa hadapan, kita akan melihat kembali ke masa lalu dan menyedari perkara teruk yang pernah kita lalui akan menjadi perkara baik yang disyukuri.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my