D-Life

Review Filem Crawl : Antara ancaman nyawa dan kasih sayang keluarga

Oleh  | 

KETIKA diberi peluang untuk menyaksikan preview filem Crawl arahan Alexandre Aja, sis rasa teruja untuk mengetahui jalan cerita filem yang menampilkan aligator sebagai watak antagonis seperti ini. Jika sebelum ini kebanyakan filem menampilkan haiwan seperti jerung dan piranha, lain pula kisahnya untuk filem ini. Crawl mengajar manusia terpaksa mempertahankan hidup mereka daripada diserang aligator yang buas dan apa yang lebih mencabar, mereka terpaksa mengharungi suasana ribut taufan pada masa yang sama.

Filem Crawl mengisahkan tentang seorang wanita muda bernama Haley lakonan (Kaya Scodelario) yang cuba untuk menyelamatkan bapanya ketika ribut taufan Kategori 5 di rumah mereka yang terletak di Florida. Ketika dalam usaha untuk menyelamatan bapanya iaitu Barry, Haley telah melalui pelbagai rintangan yang benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikalnya sebagai seorang perempuan. Lebih-lebih lagi ketika Haley terperangkap di bawah rumah dalam cubaan untuk menyelamatkan bapanya, Haley terpaksa bergelut untuk membebaskan bapanya serta dirinya sendiri daripada diserang aligator-aligator yang mengganas dan buas.

Storyline yang ringkas dan mudah 

Filem ini bukanlah sebuah filem yang memerlukan kita untuk berfikir secara mendalam. Dengan storyline yang agak ringkas dan plot-plot cerita yang mudah diduga, filem Crawl boleh diklasifikasikan sebagai sebuah filem santai yang boleh ditonton oleh semua lapisan umur.

Ceritanya bermula apabila Haley ingin menyelamatkan bapanya yang terperangkap di dalam rumah ketika ribut taufan walaupun telah dihalang oleh ahli-ahli penyelamat yang menjaga kawasan tersebut. Hampir 3/4 daripada filem ini  hanya memaparkan babak dimana Haley dan bapanya sama-sama mengharungi permasalahan semula jadi yang melibatkan bencana alam seperti ribut taufan dan haiwan liar iaitu aligator sehingga berjaya dijejaki oleh pasukan penyelamat.

Sinematografi dan teknik CGI yang hebat 

Namun, filem ini tidak dilihat gagal secara total hanya kerana jalan ceritanya yang mudah. Apa yang sis boleh rumuskan adalah keseluruhan filem ini dikira cemerlang kerana teknik CGI yang diaplikasikan untuk menjadikan aligator kelihatan benar dikira sebagai berjaya dan realistik. Aligator-aligator di dalam filem ini dapat divisualkan secara real dan elemen seram dan misteri berkaitan haiwan liar ini dapat dizahirkan menerusi visual dengan baik.

Selain daripada itu, sinematografi filem ini juga dianggap berjaya kerana penonton dihidangkan dengan situasi ribut taufan dan aligator yang boleh dianggap ‘real’. Tiada lupa juga kesan solekan ngeri di dalam filem Crawl ini juga mampu meyakinkan penonton untuk merasai kesakitan yang dialami oleh watak-watak berkenaan dan mampu membuatkan segelintir penonton berasa mual jika mereka tidak sukakan elemen-elemen gore seperti ini.

Nilai kasih sayang antara anak dan ayah

Crawl ini tidak hanya memfokuskan kepada ancaman aligator semata. Nilai kasih sayang antara seorang anak dan ayahnya berjaya digarap oleh pengarah filem ini menerusi babak dimana Haley berusaha sedaya-upaya untuk mencari bapanya walaupun telah diberi amaran oleh pihak bekuasa tentang ancaman ribut taufan. Haley sanggup membahayakan nyawa demi memastikan bapanya kekal selamat. Hal ini dapat dibuktikan menerusi beberapa adegan yang terdapat dalam filem ini. Selain itu, terdapat juga babak dimana mereka berdua mengimbas semula memori-memori lama mereka bagi membawa penonton mengenali dengan lebih dekat hubungan di antara mereka berdua.

Secara keseluruhannya, filem yang berdurasi 1 jam 27 minit ini merupakan sebuah filem yang tidak terlalu meleret untuk ditonton. Rating sis bagi 6.5/10. Elemen suspen dan seram yang dipaparkan juga boleh dianggap ‘cukup rasa’ dan menarik untuk ditonton sehingga tamat. Untuk mereka yang gemarkan eleman suspen dan seram, Ini merupakan filem yang sesuai untuk korang. Jangan lupa tonton filem ini di pawagam bermula 18 Julai ini okay? Selamat Menonton!

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my