Inspirasi Dhia

“Saya Aisha dari Myanmar”- gadis Rohingya ini buka cerita pengalaman larikan diri ke Malaysia

Oleh  | 

PEMBANTAIAN etnik Rohingya di Myanmar tidak pernah menyediakan pilihan lain kepada mereka selain melarikan diri jika ingin meneruskan kehidupan.

Mereka mencari mana-mana tempat walaupun harus berjalan berjam-jam lamanya di dalam hutan atau merentas lautan untuk berlindung.

Baru-baru ini, Team Dhia sempat singgah ke Sekolah Pelangi Kasih atau Rainbow Of Love yang menyediakan peluang pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak pelarian Rohingya.

Kira-kira 85 orang pelajar sedang tekun di kelas yang diasingkan pengikut tahap kecerdasan masing-masing.  Kelas berakhir pada jam 12 tengahari sebelum bersambung di sebelah petang.

Membangun hidup dari sebuah kelas kecil

Penulis pun masuk ke dalam bilik darjah paling hujung untuk melihat keadaan kelas. Penulis terserempak dengan seorang kanak-kanak perempuan dalam kurung biru memegang penyapu. Dia kelihatan sedikit terkejut.

 “Tadi kelas Bahasa Melayu. Setiap habis kelas, kita memang kena sapu, bersihkan apa semua,” katanya tersipu apabila disapa. Penulis lupa bertanya namanya.

“Seronok belajar dekat sini?”

“Seronok,” katanya yakin.

Kelas itu tidak besar. Sekadar cukup menempatkan sekitar 10 buah meja murid dan satu papan putih di hadapan kelas. Dia meminta izin untuk makan tengahari meninggalkan penulis yang mengamati jadual waktu kelas mereka.

Berpandukan kepada silibus pelajaran di Malaysia, anak-anak pelarian ini nampaknya memperoleh ilmu yang sama dengan kanak-kanak tempatan. Cuma bezanya, mereka tidak memiliki kemudahan serupa.

Ketika anak-anak di Sekolah Pelangi Kasih ini sedang makan, penulis berbual dengan seorang cikgu, Hanif namanya. Dia bercerita kisah seorang anak muridnya yang merupakan antara pelarian yang berjalan kaki berhari-hari bersama keluarganya untuk sampai ke Malaysia.

Cikgu Hanif mengizinkan penulis menemuramah murid yang dimaksudkannya bernama Aisha selepas makan tengahari.

Saya Aisha dari Myanmar

Saya menunggu di bilik darjah sebelum pintu ditolak mempersilakan seorang kanak-kanak perempuan masuk. Oh, dialah budak perempuan yang saya jumpa di dalam kelas!

Nama saya Aisha, saya dari Myanmar,” begitu caranya memperkenalkan diri.

Gadis berumur 15 tahun itu bercerita pengalamannya melarikan diri bersama-sama ibu dan adiknya dengan menaiki kapal beramai-ramai.

“Sebelum menaiki bot, mereka harus berjalan kaki merentas hutan selama lima hari.

“Ada ketua yang tunjuk jalan. Kalau penat. Kita berhenti kejap. Lepas tu jalan lagi,” cerita Aisha.

16 hari di atas bot

Setelah berjalan kaki lima hari, mereka akhirnya menaiki bot tiga tingkat yang membawa kira-kira 600 orang pelarian.

Kita naik bot selama 16 hari. Dalam bot mereka ada bagi makanan. Mereka akan bagi satu cawan air dan nasi dua kali sehari.

Penulis tiba-tiba teringat kes bot pelarian Rohingya yang karam dan mengorbankan 200 nyawa ketika mereka cuba lari dari Myanmar. Mujur itu tidak terjadi kepada Aisha sekeluarga dan mereka sempat tiba di Malaysia.

Pembersihan etnik Rohingya di Myanmar membuatkan penduduk di sana ditanam hidup-hidup, bayi dibunuh dan serangan seksual terhadap wanita Rohingya dilakukan secara terbuka oleh tentera Myanmar.

Itu belum lagi kekejaman seperti perempuan Rohingya diculik, diikat, dirogol selama tiga hari sebelum ditinggalkan nyawa-nyawa ikan yang tidak banyak diceritakan secara terperinci di dada akhbar.

Aisha terselamat dari malapetaka itu. Dia bersekolah di Sekolah Pelangi Kasih kerana ia berdekatan dari rumah. Di sekolah inilah pelarian seperti Aisha membesarkan mimpi-mimpinya.

“Saya nak jadi pegawai imigresen,” katanya mengakhiri pertemuan.

Ini cerita Aisha. Ada bermacam-macam lagi kisah pelarian yang mungkin lebih tragis daripadanya. Pertemuan Dhia dengan Aisha telah mengajar sesuatu yang cukup besar bahawa di saat kita mengeluh dengan apa yang kita miliki hari ini, rupanya ia adalah sebuah kehidupan yang sangat diinginkan orang lain.

Kita yang selalu terlupa untuk bersyukur dan menghargai apa yang ada digenggaman kita.

Kisah penuh Aisha boleh ditonton di Dhia TV bersama-sama Wafa Awla dalam siri terbaru PM Tepi Je La.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my