Inspirasi Dhia

“Selama ini saya buat teater nak bina nama dan orang lihat, tapi…” – Fazleena dedah apa terjadi bila ajar anak yatim ini

Oleh  | 

SAYA pernah menghadiri sebuah program baca puisi kira-kira beberapa tahun lalu. Ketika itulah saya melihat seorang perempuan mara ke atas pentas. Ia tidak hanya ‘membaca’ puisi, tapi menjampinya hingga semua yang berada di dalam ruang itu senyap dan ternggelam dalam sajak-sajak yang dibacanya termasuklah saya.

Sesekali dia bernyanyi dan entah kenapa mata saya digenangi air. Ia ajaib. Baru-baru ini saya sempat bertemu wanita itu semula dalam satu wawancara.

Beliau baru sahaja menyudahkan sesi latihan teater sewaktu saya bertemunya. Kelihatan anak-anak baru selesai menunaikan solat berjemaah dan menjamah makan tengahari. Kami beralih ke tengah rumah dan sesi wawancara dimulakan.

Fazleena Hishamuddin bukanlah nama asing dalam dunia seni teater dan penulisan tanah air. Dikenali sebagai Kak Faz, beliau berpengalaman dalam berlakon, mengarah, menulis skrip sehinggalah kepada kerja-kerja belakang tabir sebuah produksi dan teater.

Beliau diberi kepercayaan untuk mengarah sebuah projek penting untuk anak-anak marginal iaitu Mona ke Daerah M. Berada di bawah sebuah gerakkan bukan kerajaan Teach For The Needs, Fazleena hadir merangka sebuah model yang memerlukan anak-anak terpinggir ini melakukan pementasan di pentas yang berprestij.

Seni dan kemanusian

Bercerita tentang generasi X dan Y sering dikaitkan isu yang membimbangkan di dada akhbar seperti kes jenayah dan perubahan sikap yang dianggap berlanggar  adab dan moral bermasyarakat,  Fazleena merasakan ia terjadi kerana generasi mudah terlalu jauh dengan kefahaman mengenai nilai kemanusian dan rasa empati.

Menurut Fazleena, teater adalah seni persembahan yang banyak mengajarkan nilai kemanusiaan. Penulis novel  Tari Pasar Perempuan itu menjelaskan dengan berteater, seseorang akan belajar untuk saling hormat kerana untuk menjayakan sebuah pementasan, mereka harus bekerja di dalam kumpulan, walaupun pelakonnya adalah seorang.

Bercakap tentang keadaan kanak-kanak terpinggir, Fazleena mendedahkan golongan ini sering berhadapan dengan masalah kurang keyakinan diri. Ada banyak sebab menyumbang kepada perkara ini termasuklah latar belakang  dan suasana anak-anak ini dibesarkan.

“Anak-anak yang tidak berkemampuan ini, mereka kurang keyakinan diri. Mereka tidak berani bersuara.

“Saya percaya kita boleh melakukan apa sahaja jika kita yakin. Anak-anak ini juga begitu. Dengan stigma masyarakat  dan lingkungan mereka yang negatif, saya percaya mereka boleh mengubah nasib hidup mereka sekarang.” katanya

Cinta pandang pertama

Bercerita tentang penglibatannya mengajar teater untuk anak-anak yatim. Ia bermula pada suatu hari sebaik sahaja beliau pulang menjadi juri di sebuah rumah anak yatim. Entah kenapa beliau diserang sebuah perasaan sebak di dadanya.

“Saya terlibat dengan teater sejak zaman universiti. Hampir 16 tahun.

“Saya mula sedar bahawa selama ini saya buat teater untuk bina nama. Saya nak orang lihat saya. Tapi saya tak pernah pun memberi.

“Rupanya Tuhan beri saya bakat untuk saya berikan kembali kepada masyarakat. Setiap kali memberi, perasaan itu tak boleh kita bayar dengan wang ringgit.” katanya sambil tersenyum.

Sejak itu, wanita berhati angkasa ini tidak pernah berhenti berkongsi bakat dengan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Beliau mengingatkan saya dengan kata-kata yang pernah dibaca dalam sebuah buku secara tergesa-gesa sehingga tak dapat saya ingat judulnya tapi begitu mengesankan.

Ada seorang lelaki bertanya kepada seorang penyair dan mempersoalkan apakah yang Tuhan lakukan ketika berlakunya peperangan, pembunuhan atau ketika berlakunya kebuluran. Penyair itu tenang menjawab, “Tuhan telah melakukan sesuatu. Dia telah menciptakan kamu.”

Setiap orang boleh membuat perubahan. Tak kisahlah sama ada ia kecil atau besar. Fazleena mungkin menjadi antara pemula kepada sebuah kesedaran dalam memperjuangkan nasib anak-anak marginal.

Dunia memerlukan lebih ramai Fazleena dengan perjuangan yang pelbagai untuk membuat kehidupan seseorang lebih baik dari apa yang dimiliki hari ini. Mungkinkan kita salah satu daripadanya?

Teater Mona ke Daerah M akan berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka pada 21 sehingga 23 Disember ini. Harga tiket bermula daripada RM40 atau klik sahaja di sini.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my