Inspirasi Dhia

“Siapa lagi yang akan beri mereka harapan?” – Ini cerita Cikgu Hanif mengajar anak-anak pelarian Rohingya

Oleh  | 

KRISIS kemanusian yang semakin membimbangkan di wilayah Rakhnie telah memaksa penduduknya untuk keluar mencari perlindungan atau mati di hujung mata senapang tentera Myanmar.

Jika kita tengok jumlah pelarian Rohingya pada tahun lalu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) mencatatkan terdapat 163, 860 jumlah pelarian yang berdaftar tinggal di Malaysia.

Namun, selepas mereka ini melarikan diri, apa pula nasib mereka di negara yang bakal mereka duduki? Ia adalah sebuah persoalan yang berlegar-legar kemudian senyap untuk dibahaskan kerana ia bukanlah isu popular dan sensasi yang boleh melariskan penjualan akhbar.

Di sebuah kawasan perindustrian terpencil di Selayang dengan bangunan setinggi tiga tingkat. Di sinilah tangan anak-anak pelarian ini disambut dan diberikan harapan untuk meneruskan kehidupan.

Rainbow of Love atau Sekolah Pelangi Kasih dibangunkan untuk memberi pendidikan dan sokongan kepada anak-anak pelarian Rohingnya.

Di sinilah team Dhia bertemu seorang jejaka Melayu berumur 27 tahun bernama Hanif Mahpa. Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda daripada universiti tempatan, Hanif nampaknya memilih menjadi guru kepada anak-anak pelarian ini.

Kami sempat mengikuti Cikgu Hanif mengajar pelajaran Matematik. Saiz kelas itu tidaklah besar, setakat cukup untuk memuatkan kira-kira 10 orang murid dan papan putih di hadapan kelas.

Ajar mengenal budaya dan cara hidup

Menjadi guru kepada anak murid yang bercakap dalam bahasa dan budaya berbeza bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Namun menurut Hanif, cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya kerana menyedari bahawa tugas sebagai guru di sekolah inilah yang akan menyelamatkan nasib mereka daripada hidup tanpa tujuan.

“Ini adalah kawasan yang selamat untuk mereka. Kebanyakan mereka kalau tak sekolah dekat sini, mereka akan merayau-rayau dekat kawasan pasar dan terlibat dengan masalah sosial. Tapi di sekolah ini, mereka akan diajar bergaul dan hidup bermasyarakat,”

FOTO: Facebook Hanif Mahpa

Anak murid saya dilarikan

Disebabkan Cikgu Hanif berada dekat dengan anak-anak pelarian, tentu sahaja dia menyimpan pelbagai kisah yang tidak pernah dikongsikan kepada orang awam.

Ada seorang anak murid saya dahulu dia dilarikan dari keluarganya di Myanmar kemudian di bawa ke Malaysia.

“Bila ayah dia tahu anaknya dilarikan, dia pun pergi ke Malaysia bersama anak lelaki untuk menjejaki puterinya yang hilang. Sementara mencari anak perempuan yang dilarikan, si ayah sempat menyekolahkan anak lelakinya di sini.

“Si ayah kemudian meneruskan pencariannya di merata-rata. Alangkah terkejutnya si ayah apabila terjumpa anaknya sedang mengemis di tengah kota Kuala Lumpur. Akhirnya, mereka dua beradik bersekolah di sini,” katanya.

Cukuplah jika mereka jadi manusia yang baik

Tiada siapa yang boleh memberi kata putus tentang nasib yang bakal tertulis untuk anak-anak pelarian ini.

Menurut Hanif, hasil daripada setiap bakti dan jasa seorang guru tidak akan dapat dilihat segera namun 10 atau 20 tahun akan datang.

Selalunya orang akan ukur kejayaan jika seseorang itu masuk universiti dan mendapat kerja yang baik. Bagi saya cukuplah jika mereka ini menjadi seorang manusia yang baik, menghormati orang lain dan berdikari.

“Saya percaya, mereka dekat sini memerlukan peluang yang sama. Kalau bukan saya dan kita semua, siapa lagi yang akan memberi mereka harapan?” katanya.

Menurut Hanif lagi, jika anak-anak pelarian ini menjadi manusia yang baik dan diberi pendidikan yang baik, mereka akan menyumbang kepada Malaysia.

Namun, kalau mereka tidak mendapat pendidikan dan tidak tahu mana baik dan buruk. Mereka akan memberi kesan yang buruk kepada negara.

Hanif juga mengingatkan kita bahawa apa yang menjadikan manusia itu mulia dan istimewa ialah kerana kita dianugerahkan sifat empati sehingga kita boleh merasai kesusahan orang lain.

Jadi, tangan siapa yang kita sambut hari ini sebenarnya mampu memberikan mereka harapan untuk terus hidup sehari lagi?

*Cerita penuh tentang Hanif boleh ditonton menerusi siri PM Tepi Je La di Youtube Dhia Tv.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my