Inspirasi Dhia

Skuba dengan sebelah kaki, gadis OKU ini berjaya buktikan tiada apa yang mustahil

Oleh  | 

SEPERTI kebanyakan gadis lain yang baru meningkat dewasa, sudah tentu kita ingin merasai kehidupan yang serba-serbi gembira seperti bebas keluar dan bersantai dengan kawan-kawan. Kemudian ke pusat beli-belah untuk mencuba produk alat solek terbaharu sebelum ke panggung wayang. Itulah yang pernah dibayangkan Nooraishah binti Arshad, sebelum ini.

Namun, episod ngeri dalam hidupnya terjadi apabila gadis yang lebih selesa disapa sebagai Ecah disahkan doktor menghidap kanser tulang tahap tiga. Kesannya, Ecah kehilangan sebelah kaki. Bercerita tentang waktu itu, Ecah sempat mengakui berita itu telah membuatkan dunianya seolah-olah gelap seketika.

“Saya tengok kawan-kawan yang meningkat remaja. Saya pun nak rasa macam apa yang mereka rasa seperti pergi ke sekolah dan bekerja. Namun, dengan keadaan kaki macam ini, pembesaran saya agak terbatas,” katanya ketika ditemui di sebuah program kendalian pasukan penyelam profesional, DiveHeart.

BACA:Kerana percaya kepada harapan, lelaki ini tekad mulakan sukan scuba untuk OKU

Perlahan-lahan Ecah keluar daripada dunia gelapnya. Dia mengumpul segenap kekuatan dan keberanian untuk memberi makna dalam kehidupannya. Mengenangkan ekonomi keluarganya yang susah, Ecah turut menyimpan hasrat untuk membantu kedua orang tuanya.

“Saya pun memang daripada keluarga yang susah dan saya tak nak susahkan mereka. Saya nak hidup berdikari. Nak hidup sendiri. Nak bantu dan balas jasa mereka,”

Takdir nampaknya telah menyusun sebuah perancangan yang jauh lebih indah untuk gadis berumur 21 tahun ini. Ecah dipelawa untuk mencuba sukan lasak skuba diving yang selalunya dilakukan oleh mereka yang memang sempurna fizikalnya. Tidak berfikir dua kali, Ecah terus bersetuju demi membuktikan golongan orang kelainan upaya sepertinya juga mampu untuk melakukan apa sahaja.

“Orang mesti terfikir OKU tak mampu menyelam. Saya nak buka mata masyarakat dan tunjukkan pada mereka bahawa golongan OKU juga boleh melakukan apa sahaja tanpa batas.  Jadi apa yang orang lain boleh buat, kami boleh buat kerana tiada yang mustahil,”

Dengan bantuan dan latihan daripada penyelam profesional, Ecah telah berjaya menyelam ke dasar lautan dan menikmati keindahan yang tak dapat ditemui di daratan. Ecah secara tidak langsung telah membawa mesej penting bahawa setiap keinginan pasti boleh dicapai jika kita benar-benar menginginkannya.

Keyakinan Ecah bertambah saban hari dan semakin bersemangat untuk mengakrabi lautan biru. Semua ini hanya boleh dilakukan kerana dia sendiri yang memilih untuk mengakhiri zaman gelapnya. Apabila ditanya apakah yang ingin disampaikan kepada seorang Ecah yang dahulu, gadis ini tersenyum kemudian menyambung,

“Kalau jumpa diri saya yang dulu, saya akan push dia betul-betul dan bagi dia semangat sampai dia tersenyum.

Tak perlu sedih kerana di dunia ini tak ada benda yang mustahil,” katanya mengakhiri temubual.

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

dhia.com.my